MyCareCov19 sedia ruang untuk masyarakat tenangkan hati, usir resah gelisah sepanjang PKP

TV ALHIJRAH bersama rakan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kumpulan Media Karangkraf Sdn. Bhd (Karangkraf), Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Majalah Pa&Ma dan Majalah Keluarga menerusi kempen #MusaadahCovid19 memulakan inisiatif baharu iaitu MyCareCoV19 khusus untuk memberikan bantuan kerohanian dan pengawalan emosi buat warga Malaysia.

Menerusi pelancaran kempen MyCareCoV19 yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam rancangan Assalamualaikum yang disiarkan secara siaran langsung pada 12 April lalu, dijangka hampir dua juta penonton TV AlHijrah berpeluang untuk mendapatkan bantuan pakar setiap hari bagi merangsang pemikiran, emosi dan perasaan yang lebih seimbang dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Dr. Zulkifli sewaktu dihubungi menerusi aplikasi Skype turut berbesar hati melancarkan rancangan baru terbitan stesen ini iaitu Rancangan Munajat.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris sewaktu ditemui pasca pelancaran memaklumkan bahawa TV AlHijrah membuka pintu siaran seluas-luasnya untuk sebarang program yang memanfaatkan ummah.

“MyCareCoV19 adalah usaha kami untuk memeluk emosi masyarakat yang sarat dengan pelbagai isu psikologi semenjak serangan wabak COVID-19.

“Manusia secara fitrahnya diciptakan untuk bergerak bebas tanpa sekatan. Jadi kita boleh bayangkan betapa sesaknya nafas dan serabutnya minda apabila perlu berkurung seharian di rumah. Malahan ada di antara kita yang terpaksa berjauhan dengan yang tersayang.

“Justeru, saya melihat penerbitan rancangan MyCareCoV19 adalah satu keperluan pada saat-saat getir ini,” jelas Namanzee.

Menggunakan slogan Bina Syurga Di Rumah. Bina Rumah Di Syurga. Berjuang Masuk Syurga Sekeluarga, program MyCareCoV19 akan bersiaran sebagai segmen di dalam rancangan bual bicara pagi Assalamualaikum setiap hari, pada pukul 8.00 hingga 8.30 pagi bermula 13 April 2020.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Dato’ Dr. Mohd Na’im Mokhtar, penonton boleh menghubungi talian 03 – 2260 2412 untuk berkongsi rasa jiwa bersama pakar-pakar yang ditampilkan setiap hari dalam rancangan ini.

“Anggaplah begini, kami adalah sebahagian dari keluarga anda yang sayang dan peduli serta ambil berat tentang kemaslahatan jiwa kalian. Kita tidak mahu pertimbangan kemanusiaan, keinsanan dan kewajaran hilang dek ujian wabak ini,” katanya.

Menggunakan slogan Bina Syurga Di Rumah. Bina Rumah Di Syurga. Berjuang Masuk Syurga Sekeluarga, program MyCareCoV19 akan bersiaran sebagai segmen di dalam rancangan bual bicara pagi Assalamualaikum setiap hari, pada pukul 8.00 hingga 8.30 pagi bermula 13 April 2020.

Menurut beliau lagi, pakar-pakar dalam bidang psikologi, kekeluargaan, pengurusan emosi dan yang berkaitan untuk menjawab soalan-soalan penonton serta berkongsi tips-tips dan saranan yang mampu menyuntik semangat semua untuk menjalani perubahan dalam aktiviti seharian.

Antara tajuk yang akan dibincangkan adalah seperti Penderaan Domestik, Sahsiah Suami Isteri, Anak Tantrum Dek PKP, SOP Keluarga PKP, Konflik Penceraian, Adab Media Sosial, E-Kuliah Keluarga dan banyak lagi tajuk menarik lain.

Sebagai tambahan, rancangan Munajat yang turut dilancarkan pada pagi itu adalah inisiatif tepat yang menterjemah kempen MyCareCoV19.

Selain menyantuni rakan-rakan artis nasyid, rancangan Munajat dengan kerjasama Nasyid.com dan Munsyeed Malaysia dilihat mampu menyumbang secara langsung di dalam kesihatan psikososial ummah.

Munajat akan memulakan siaran Ramadan ini setiap Sabtu selama 60 minit. Antara rakan-rakan artis nasyid yang akan membuat persembahan adalah seperti Daqmi, Hazamin In-Team dan banyak lagi nama-nama besar yang akan mempersembahkan lagu-lagu berunsur dakwah, ketuhanan, kemanusiaan, dan kemasyarakatan.

Inisiatif seni ini diharapkan mampu menenangkan sedikit jiwa penonton dan sebagai mengisi ruang dengan hiburan mendidik emosi dan rohani sepanjang menempuh cabaran PKP.

MyCareCov19 sedia ruang untuk masyarakat tenangkan hati, usir resah gelisah sepanjang PKP

| Semasa |