October 12, 2024 1:17 PM
LOGO-HBIT

Nabi Isa a.s kembali ke bumi

PADA suatu masa di akhir zaman, Nabi Isa a.s. akan turun kembali ke bumi dan sejak itu bermulalah satu demi satu kebangkitan dan kemenangan. Di sisi Baginda juga pemimpin yang dinanti oleh umat Islam iaitu Imam Mahdi bersama berganding peranan untuk memakmurkan dunia semula.

Setelah Dajjal muncul, manusia hidup dalam kekacauan kerana fitnah yang dibawanya begitu besar. Maka Allah menurunkan Nabi Isa a.s di Masjid Umawi yang terletak di timur Kota Damsyik sewaktu umat Islam sedang bersiap-siap mengerjakan solat Subuh dan iqamah telah dilaungkan.

Menurut Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi dalam rancangan Riwayat Akhir Zaman Musim 1, Episod 2, Nabi Isa a.s turun memaut dua sayap malaikat, digambarkan berpakaian kekuning-kuningan dan berambut kerinting mencecah bahu, basah dan masih tertitis air darinya, berwajahnya putih kemerah-merahan.

Pada waktu Nabi Isa a.s masuk ke dalam masjid, Imam Mahdi sedang bersiap-siap untuk mengimamkan solat. Apabila terpandang kehadiran Nabi Isa a.s, Imam Mahdi undur untuk memberi ruang untuk Baginda menjadi imam, tetapi ditolak kembali ke depan oleh Baginda dengan berkata “Iqamah tadi dikumandangkan untuk kamu (umat Nabi Muhammad SAW).”

Selesai solat Subuh, Nabi Isa a.s mengarahkan tentera Islam supaya membuka pintu masjid. Sebaik sahaja terbuka, kelihatan Dajjal dan 70 ribu pengikutnya. Dajjal yang tidak menyangka akan bertemu dengan Nabi Isa pada hari itu terus melarikan diri.

Tubuh Dajjal mencair umpama garam terkena air apabila terpandang Baginda. Nabi Isa mengejar Dajjal sehingga ke Gerbang Lud di Palestin dan membunuhnya dengan dua sabit, manakala helaan nafas Nabi Isa a.s apabila tercium oleh orang kafir menyebabkan mereka mati.

Rancangan Riwayat Akhir Zaman juga dapat ditonton di aplikasi AlHijrah Plus.

Nabi Isa a.s menghimpunkan pengikut Baginda untuk melaksanakan tugasan yang telah ditetapkan oleh Allah iaitu membatalkan pegangan-pegangan mereka dahulu yang mengangkat Nabi Isa sebagai Tuhan dan mematahkan seluruh salib yang ada, membunuh babi dan membersihkan satu pegangan iaitu cukai-cukai yang dikenakan sebelum ini.

Kemudian Nabi Isa dan pengikutnya memerangi orang-orang kafir dan Yahudi sehingga mereka bertempiaran bersembunyi di balik pokok dan batu; namun didedahkan persembunyian mereka oleh pokok dan batu di situ, kecuali pokok Gharqad.

Mereka semua dibunuh sehingga tinggal hanya orang beriman. Dunia kembali makmur pada zaman ini dan Nabi Isa a.s memerintah sekitar 40 tahun atau tujuh tahun mengikut pendapat yang lain.

Kemudian sampai ketentuan Allah apabila Yakjuj dan Makjuj muncul dan Nabi Isa diperintah untuk bersembunyi daripada mereka dan berdoa supaya dimusnahkan mereka. Allah memusnahkan mereka dan keadaan menjadi hening.

Empat orang keluar meninjau apa yang terjadi dan mereka menyaksikan bangkai Yakjuj dan Makjuj bergelimpangan. Kemudian Allah menghantar burung-burung yang memakan bangkai mereka dan diturunkan hujan untuk membersihkan seluruh muka bumi.

Nabi Isa kemudian wafat ketika mengerjakan ibadah haji dan dimakamkan di sebelah makam Rasulullah SAW. Makam ini telah pun dipersiapkam untuk Nabi Isa a.s sebagai persediaan menghadapi akhir zaman.

Gambar: Masjid Umawi di Kota Damsyik, tempat Nabi Isa a.s bakal turun semula.