Nasib pemandu teksi menghidap ketumbuhan di leher bagai jatuh ditimpa tangga, tiada pendapatan sara isteri dan empat anak

PEKERJAAN sebagai pemandu teksi pada keadaan negara dibelenggu Covid-19 dan masyarakat terpaksa berPKP bukanlah pilihan kerja sesuai, namun lelaki ini tidak pernah menjangka keadaan sebegini akan melanda negara.

Apatah lagi sepanjang bekerja sebagai pemandu teksi, kali ini Mat berhadapan situasi ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ apabila sudah tiga bulan tidak dapat menjana pendapatan kerana telah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada lehernya.

Beliau yang menanggung isteri, seorang suri rumah bersama empat orang anak yang berusia satu hingga sembilan tahun terpaksa berjimat cermat membelanjakan wang simpanan yang ada.

Terdesak dengan kesempitan hidup ketika ini, isteri beliau telah mengajukan permohonan bantuan makanan dan keperluan rumah kepada seseorang sehingga maklumat tersebut sampai kepada Skuad Jejak Asnaf.

Skuad mencadangkan supaya Mat mencari kediaman lain yang lebih sesuai kerana bilik sewa yang beliau tinggal ketika ini agak kecil sedangkan beliau mempunyai empat orang anak masih kecil.

Ketika ditemui, Mat menyatakan sudah dua bulan tidak mampu membayar sewa bilik. Mujurlah tuan rumah sanggup memberi peluang beliau terus tinggal di situ sementara beliau mencari jalan untuk membayar tunggakan tersebut.

Menyedari masalah yang dihadapi keluarga ini, Skuad telah menyerahkan sumbangan barangan keperluan makanan serta bersetuju membantu memproses Bantuan Kewangan Bulanan dan Bantuan menyelesaikan hutang tunggakan sewa bilik.

Skuad juga ada mencadangkan supaya Mat mencari kediaman lain yang lebih sesuai kerana bilik sewa yang beliau tinggal ketika ini agak kecil sedangkan beliau mempunyai empat orang anak masih kecil.

Kisah Mat dan keluarganya hanyalah secebis daripada pelbagai kisah yang sedang dihadapi kebanyakan keluarga dari kalangan berpendapatan rendah dan diancam pula Covid-19.

Kesempitan hidup sebegini memerlukan tidak sedikit kesabaran dan keimanan yang mantap agar tiada keputusan yang tidak wajar dibuat sekiranya mereka tidak dibantu.

Gambar: Mat dan keluarganya mendiami sebuah bilik sewa kecil. (FB Baitulmal MAIWP)

Nasib pemandu teksi menghidap ketumbuhan di leher bagai jatuh ditimpa tangga, tiada pendapatan sara isteri dan empat anak

| Semasa, Tumpang Bahu |