Normalisasi pelacuran atas nama hak asasi buka ruang kepada kerosakan lebih besar

BARU-BARU ini kita digemparkan dengan kenyataan kumpulan tertentu yang melaungkan hak asasi kemanusiaan buat pekerja seks yang dikatakan ditindas berikutan Malaysia memutuskan bahawa aktiviti pelacuran adalah tidak sah dari sudut undang-undang.

Lalu muncullah pandangan menyarankan agar hak asasi kumpulan ini dipelihara termasuklah cadangan untuk mengiktiraf industri pelacuran seperti yang dilakukan di barat agar hak asasi golongan pelacur ini dapat dipelihara.

Rasional yang digunakan oleh kelompok yang membawa arus pemikiran liberal ini telah rosak daripada awal lagi. Mereka memberikan gambaran yang salah terhadap perundangan di Malaysia. Hakikatnya setiap hak kita telah dipelihara dengan baik oleh badan perundangan negara.

Undang-undang dibentuk bagi memastikan individu dan masyarakat terpelihara daripada segala kerosakan yang boleh memudaratkan diri mereka. Larangan daripada menceburkan diri ke kancah pelacuran adalah bagi memelihara kemuliaan manusia daripada menjual maruah, sekaligus menjaga hak asasi mereka.

Neraca yang dibangunkan di negara ini mendokong ruh Islami dalam menjaga hak asasi kemanusiaan. Kita tidak seharusnya menggunakan necara dan corak pemikiran barat dalam menentukan norma dan undang-undang di Malaysia yang mempunyai budaya dan nilainya yang unik. Sudah tentu pertimbangan barat dan timur tidak sama apatah lagi bagi tanah air ini yang menjunjung Islam sebagai tonggak peradaban negara.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Dato’ Dr Madeline Berma berkata, pekerja seks di Malaysia bukan sahaja didiskriminasi malah dianggap melakukan jenayah. – Gambar: samudera.my

Kelompok ini turut menggunakan alasan kemiskinan sebagai ruang untuk memberi kebenaran kepada pekerja seks. Di sinilah titik falasi yang paling jelas. Dalam membendung kemiskinan, kita tidak seharusnya membuka ruang kepada manusia untuk melakukan kejahatan yang lain. Apakah kerana seseorang manusia itu memerlukan wang, maka kita akan benarkan mereka untuk menjadi pengedar dadah?

Sebaliknya untuk membantu golongan ini, kita seharusnya memberikan ruang pekerjaan yang lain dan bukannya cuba memberikan pengiktirafan kepada industri pelacuran atas nama hak asasi kemanusiaan.

Ini bukan sahaja mencabul maruah diri mereka, merosakkan institusi kekeluargaan bahkan mencambahkan lagi kadar penyebaran penyakit seksual. Bagaimana mungkin bagi menyelesaikan masalah satu golongan, kita membuka pintu-pintu kerosakan yang lebih banyak?

Berdasarkan laporan Berita Harian pada 28 Januari 2018, seramai 13 pekerja hotel 88 hotel di Malaysia telah melarang muslimah memakai tudung atas alasan “standard grooming.” Ketika kumpulan wanita muslimah ini berusaha mencari rezeki yang halal, tiada pula kedengaran gerakan pemikir liberal ini bersungguh-sungguh melaungkan hak asasi kemanusiaan atau bersungguh membela nasib mereka.

Padahal usaha yang dilakukan oleh muslimah ini tidaklah menyalahi syariat, namun kebebasan mereka disekat dan hak asasi mereka tergugat. Anehnya, apabila pekerjaan pekerja seks yang menyalahi syariat diutarakan, ada pula yang lantang melaungkan mengenai hak asasi manusia.

Dalam membasmi isu kemiskinan dan pelacuran, Islam telah memberikan beberapa garis panduan kerana kerja-kerja pelacuran telah pun wujud sejak zaman jahiliah lagi, namun kempen pencegahan zina melalui al-Quran dan sunnah Rasulullah berjaya membanterasnya.

Dalam membasmi isu kemiskinan dan pelacuran, Islam telah memberikan beberapa garis panduan kerana kerja-kerja pelacuran telah pun wujud sejak zaman jahiliah lagi, namun kempen pencegahan zina melalui al-Quran dan sunnah Rasulullah berjaya membanterasnya.

Hari ini, Jabatan Agama serta pihak JAKIM telah banyak menjalankan aktiviti dakwah termasuk turun ke lorong-lorong gelap bagi menyantuni kumpulan ini, malah turut menghulurkan pelbagai sumbangan bagi mengeluarkan mereka dari kancah kerosakan.

Selain itu seorang muslim juga seharusnya melihat dosa dengan pandangan yang ingin menghindari dan bukan dengan pandangan yang “mesra-dosa.” Membiasakan (atau normalisasi) dosa adalah sesuatu tindakan yang perlu dijauhi.

Seorang muslim tidak seharusnya berkata: “bukan semua pelacur itu jahat, atau “mereka terdesak melacurkan diri sebab miskin.” Rasulullah mendidik muslim melihat dosa dengan pandangan dosa.

Sabda Baginda: “Sesungguhnya orang mukmin melihat dosa-dosanya seperti dia duduk di bawah gunung, dan dia takut sekiranya gunung itu akan menimpanya, sedangkan orang fajir (selalu melakukan dosa) melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di batang hidungnya, kemudian dia mengusirnya lalu ia terbang.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Gambar hiasan: Timur Daily

*Dr Ahmad Sanusi Azmi adalah Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

PENAFIAN: Hbit.my tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Normalisasi pelacuran atas nama hak asasi buka ruang kepada kerosakan lebih besar

| Kolumnis, Semasa |