Nyawa dibalas nyawa – Gantung sampai mati hukuman paling sesuai dikenakan kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kematian

KEBANYAKAN reaksi masyarakat di laman Facebook TV AlHijrah dalam hantaran berkaitan pemandu mabuk meminta kerajaan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kematian, kerana bagi mereka hukuman setimpal untuk kehilangan nyawa ialah nyawa juga.

Ada juga saranan yang mewajibkan pesalah tersebut membayar pampasan kepada keluarga si mati, atau menanggung keluarga mangsa sepanjang hayat bagi kes yang menyebabkan kecederaan kekal.  

Rata-rata mereka mengatakan hukuman sekarang adalah terlalu ringan berbanding jenayah yang dibuat, sedangkan pihak mangsa terpaksa berdepan kesukaran hidup apatah lagi kes terlibat membabitkan kematian tunjang keluarga.

Kes kematian disebabkan pemandu mabuk bukanlah kes kemalangan biasa kerana ia berlaku ekoran kecuaian pihak pemabuk. Di Taiwan, pemandu mabuk yang menyebabkan kematian dikenakan hukuman mati, manakala di Amerika Syarikat, penjara 50 tahun merupakan hukuman yang pernah dijatuhkan kepada pemandu mabuk yang menyebabkan tiga kematian.

Kes kematian disebabkan pemandu mabuk bukanlah kes kemalangan biasa kerana ia berlaku ekoran kecuaian pihak pemabuk. Di Taiwan, pemandu mabuk yang menyebabkan kematian dikenakan hukuman mati, manakala di Amerika Syarikat, penjara 50 tahun merupakan hukuman yang pernah dijatuhkan kepada pemandu mabuk yang menyebabkan tiga kematian.

Semalam, Pakar Undang-undang dan Perlembagaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz dilaporkan Bernama berkata, menggunakan Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk kes pemandu mabuk yang menyebabkan kematian adalah wajar namun memerlukan satu pembuktian yang lebih tinggi.

Ini kerana Kanun Keseksaan boleh digunakan untuk semua jenis kematian termasuk kes pemandu mabuk yang menyebabkan kematian; sekiranya kenderaan yang dipandu itu dapat dibuktikan adalah sebagai alat untuk membunuh.

Oleh itu menurut beliau, satu peruntukan yang khusus dalam Akta Pengangkutan Jalan diperlukan supaya memudahkan pembuktian dan meringankan beban pembuktian.

“Bukti-bukti yang dibawa pihak berkuasa atau pendakwa dalam peruntukan Akta Pengangkutan Jalan itu berbeza dengan  bukti-bukti yang diperlukan  bagi kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya kepada Bernama.

Langkah kerajaan untuk merangka pindaan di bawah Sekyen 44 Akta 333 di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu sangat bertepatan untuk menjadikan hukuman itu setimpal dengan kesalahan atau kematian yang berlaku kerana memandu dalam keadaan mabuk, katanya.

Di samping itu beliau juga meminta kerajaan supaya menilai semula keseluruhan isu arak dan bukan sahaja untuk menangani isu pemandu mabuk serta melakukan tindakan yang tegas, cepat dan berkesan bagi menangani masalah ini.

Antara langkah yang dicadangkan, kerajaan boleh menyediakan dasar berkaitan penjualan dan penggunaan arak dengan menetapkan masa penjualan atau sekatan masa penjualan kepada orang awam agar jualan arak terkawal.

Gambar hiasan (Bernama)

Nyawa dibalas nyawa – Gantung sampai mati hukuman paling sesuai dikenakan kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kematian

| Semasa |