Pakej Stimulus IKS TV AlHijrah tanda solidariti untuk usahawan Malaysia

OLEH ROKIAH ISMAIL (rokiah@tvalhijrah.com)

MENGAMBIL konsep yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing, TV AlHijrah (TVAH) sebagai sebuah syarikat penyiaran mengambil langkah awal menjadi pelopor dalam bidang ini untuk membantu para usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang terjejas teruk ekoran bencana wabak Covid-19.

Inisiatif ini juga sebagai tanda sokongan terhadap usaha kerajaan yang sedang giat membantu mereka menerusi kempen #MusaadahCovid19 yang diilhamkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Melalui Pakej Stimulus Industri Kecil Dan Sederhana (PSIKS-TVAH) yang baru sahaja dilancarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris dalam rancangan Analisis yang disiarkan secara langsung sebentar tadi, dijangka hampir 300 usahawan IKS akan berpeluang mengiklankan dan mempromosikan barangan dagangan mereka secara agresif dan percuma.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris ketika melancarkan Pakej Stimulus Industri Kecil Dan Sederhana (PSIKS-TVAH) dalam rancangan Analisis sebentar tadi.

Sebanyak RM7.65 juta diperuntukkan untuk tujuan ini.

“Kami amat faham dan bersolidariti atas nama ukhuwwah sesama Islam. Kami sedia maklum akan keterbatasan rakan-rakan usahawan IKS menghadapi kelembapan aktiviti perniagaan dalam waktu yang amat kritikal ini.

“Ibarat kata pepatah cubit peha kiri, peha kanan turut rasa sakitnya. Malah Nabi Muhammad SAW sendiri pernah mengumpamakan persaudaraan umat Islam seperti tubuh badan. Andai sakit satu bahagian, maka sakitlah bahagian yang lainnya,” jelas Namanzee sewaktu ditemui selepas majlis pelancaran PSIKS-TVAH.

Menurut beliau, pakej ini menawarkan ruang pengiklanan percuma setiap hari bermula 4 April 2020 menerusi rancangan bual bicara pagi, Assalamualaikum setiap hari selama tiga bulan.

“Ini adalah promosi amal dan jihad kami membantu mereka yang memerlukan.

“Tiga usahawan IKS sehari dengan dua platform promosi iaitu Assalam Biz menerusi panggilan Skype dan juga platform online di laman Facebook TV AlHijrah. Sebut sahaja apa juga jenis perkhidmatan patuh Syariah dan lulus KKM seperti produk makanan dan minuman, produk kecantikan, produk tekstil, barangan hiasan dalaman, perkhidmatan pelancongan dan umrah serta lain-lain boleh beriklan tanpa bayaran di stesen kami,” jelas Namanzee.

Kempen yang berlangsung sehingga awal Jun 2020 ini memperuntukkan setiap usahawan slot percuma bernilai hampir RM30 ribu seorang.

Pakej ini menawarkan ruang pengiklanan percuma setiap hari bermula 4 April 2020 menerusi rancangan bual bicara pagi, Assalamualaikum setiap hari selama tiga bulan.

“Belum pernah lagi mana-mana stesen televisyen memberikan peluang seperti ini. Kami pelopor kepada usaha ini dan mengharapkan rakan-rakan penyiar lain memberikan sokongan sewajarnya,” tambah beliau.

Kempen Tanggungjawab Sosial (CSR) ini juga bertujuan melancarkan dan menyeimbangkan ekosistem ekonomi yang terjejas disebabkan wabak Covid-19.

“Kita menyeru dan membuka peluang buat rakan strategi lain seperti mereka yang terlibat di dalam perkhidmatan pasaraya atas talian, perkhidmatan penghantaran barangan, payment gateways atau apa sahaja yang berkaitan untuk bersama-sama TV AlHijrah menyumbang idea dan tenaga bagi memastikan kelangsungan kegiatan ekonomi rakan-rakan IKS,” seru Namanzee.

Sebagai stesen televisyen Islamik yang sedar peri pentingnya konsep taawun (bertolong-menolong) dalam perkara kebaikan, usaha membantu menaiktaraf masa depan usahawan IKS untuk menguasai pasaran ekonomi domestik, seterusnya mengembangkan sayap bersaing di langit antarabangsa adalah antara agenda tidak langsung stesen ini.

Usahawan yang berminat untuk merebut peluang keemasan ini boleh mendaftar di pautan http://tiny.cc/PakejStimulus atau melayari laman sesawang TV AlHijrah bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang cara-cara pendaftaran.

Pakej Stimulus IKS TV AlHijrah tanda solidariti untuk usahawan Malaysia

| Semasa |