Pasangan positif Covid-19 warga emas raikan ulangtahun perkahwinan ke-50, berpegangan tangan dari katil hospital

OLEH ROKIAH ISMAIL (rokiah@tvalhijrah.com)

MERAIKAN ulangtahun perkahwinan ke-50 dalam wad unit rawatan rapi (ICU) sambal berpegangan tangan dari katil masing-masing adalah kenangan manis yang tidak terlupakan pasangan warga emas dari Itali ini.

Kek kecil yang dihiasi 50 lilin walaupun tanpa dinyalakan kerana faktor keselamatan juga sangat besar ertinya dalam saat-saat terpuruk mendiami ruang yang membatasi mereka dengan dunia luar.

Sandra, 71, dan Giancarlo, 73, yang terlantar di atas katil kerana dijangkiti Covid-19 memegang erat tangan antara satu sama lain selepas kedua-duanya disatukan kakitangan perubatan di sebuah hospital di Fermo, Itali, lapor portal Daily Mail.

Hasil kasih sayang dan sifat murni seorang jururawat di hospital itu, Roberta Ferretti sudah pasti sangat bermakna buat pasangan yang sedang mengharungi kesedihan ini.

Sebaik sahaja mengetahui pasangan itu akan meraikan ulang tahun perkahwinan mereka di wad itu, Ferreti bertindak mengatur sebuah parti kejutan bersama rakannya yang lain untuk pasangan yang sedang berduka itu.

Para petugas kesihatan dalam seragam PPE sedang meraikan ulangtahun ke-50 pasangan warga emas pesakit Covid-19 di wad kecemasan sebuah hospital di Fermo, Itali. FOTO DAILY MAIL

“Sandra menangis bukan saja untuk diri sendiri, dia bimbang dengan keadaan suaminya. Dia beritahu betapa dia amat menyayangi suaminya itu.

“Apabila saya mengetahui tentang ulang tahun perkahwinan mereka, saya fikir mereka perlu meraikannya,” kata Ferretti kepada media tempatan.

Walaupun hanya berlangsung selama 10 minit dan diraikan para petugas yang berseragam sut peralatan perlindungan diri (PPE), kejutan itu sangat bermakna buat mereka berdua.

“Kami meletakkan 50 lilin di atas kek kecil kerana kamu tidak boleh menyalakannya dekat oksigen.

“Ia momen yang sangat indah. Setiap minit amat berharga bagi mereka. Anda dapat melihat kasih sayang antara mereka,” katanya.

Insan berhati emas seperti Ferretti amat sukar dicari, namun tetap wujud selagi rasa cinta sesama manusia masih ada. Melihat orang lain bahagia merupakan kebahagiaan besar bagi diri insan seperti Ferretti menunjukkan wanita ini sangat berjiwa besar.

Pasangan positif Covid-19 warga emas raikan ulangtahun perkahwinan ke-50, berpegangan tangan dari katil hospital

| Semasa |