Patuhi arahan kerajaan, usah kerana segelas teh tarik anda jadi penghuni hospital

OLEH IZZAT SYAMIR ISMAIL
(izzat.syamir@tvalhijrah.com)

SEIRING dengan arahan kerajaan supaya masyarakat akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan, orang ramai kelihatannya patuh terhadap usaha membendung wabak penularan wabak Covid-19 itu.

Mengambil kira peranan masing-masing yang lebih mengutamakan kesihatan diri, sektor kerajaan, agensi serta syarikat swasta mula memberhentikan seketika operasi mereka sebagai bukti menyokong tindakan kerajaan.

Namun di sebalik kepatuhan itu, masih kedapatan warga yang degil sehingga sanggup mengabaikan arahan yang dibuat demi keselamatan mereka juga. Mereka berpusu-pusu memenuhi stesen bas, tren dan lapangan terbang untuk mendapatkan tiket pulang ke kampung halaman.

Heboh juga semalam, apabila pihak polis mengetatkan kawalan trafik dengan mengenakan sistem borang rentas negeri bagi mereka yang ingin pulang ke kampung.

Gambar yang tular di media sosial memaparkan seorang lelaki yang bergelar doktor meminta masyarakat akur nasihat kerajaan supaya mengehadkan pergerakan di tempat awam dan membantu usaha petugas kesihatan membendung wabak Covid-19.

Namun begitu, syarat tersebut terpaksa dilupuskan serta-merta apabila balai-balai polis mula dipenuhi individu yang ingin mengisi borang itu. Secara tidak langsung senario ini lebih meningkatkan risiko kepada penularan wabak yang cuba disekat.

Tinjauan hari ini mendapati pusat perniagaan seperti pasaraya, kedai barangan bayi dan farmasi serta kedai-kedai jualan barangan runcit meneruskan aktiviti perniagaan seperti biasa, malahan restoran-restoran masih beroperasi seperti biasa terutama sekali restoran mamak.

Namun restoran mamak hanya menyediakan perkhidmatan bawa pulang atau ‘tapau’sahaja, sebagaimana yang disarankan kerajaan. Antaranya Restoran Ali Nas di Sungai Buloh yang mengubah suai susunan dalaman restoran bagi memberi keselesaan kepada pengunjung yang membuat pesanan dan memilih juadah.

Usaha ini sekaligus mewujudkan rasa selamat ketika membeli di mana mereka tidak perlu bersesak-sesak dan dapat mengawal jarak antara pembeli.

Namun begitu, syarat tersebut terpaksa dilupuskan serta-merta apabila balai-balai polis mula dipenuhi individu yang ingin mengisi borang itu. Secara tidak langsung senario ini lebih meningkatkan risiko kepada penularan wabak yang cuba disekat.

Namun begitu terdapat juga peniaga-peniaga makanan yang masih lagi memberi ruang untuk pengunjung melepak menikmati makanan. Mereka seolah-olah tidak terkesan sedikit pun dengan penularan wabak yang sedang mencetuskan masalah global.

Sikap sebegini amatlah dikesali dan boleh dikira sebagai mementingkan diri sendiri. Seharusnya sebagai warga Malaysia, pada masa inilah mereka perlu menunjukkan semangat patriotik dengan tidak menambah masalah yang kian meruncing di negara sendiri.

Janganlah pula setelah “nasi sudah menjadi bubur” atau bak kata peribahasa “sudah terantuk baru tengadah” barulah kita mahu sedar diri dan menyesal. Tidak berbaloi sekiranya kebebasan sekadar menghirup segelas teh tarik di restoran mamak seminit dibandingkan dengan terpaksa menelan sejumlah ubat di hospital.

Gambar: Restoran Ali Nas Sungai Buloh yang menyediakan ruang khas untuk pelanggan membeli secara “tapau” sebagai menyahut seruan kerajaan. (Foto: Izzat Syamir Ismail)

Patuhi arahan kerajaan, usah kerana segelas teh tarik anda jadi penghuni hospital

| Semasa |