Pawagam patuh syariah pertama di Terengganu asingkan tempat duduk bukan mahram dipertikai

OLEH ROKIAH ISMAIL

WARGA Malaysia yang berminat menonton wayang di panggung pasti teruja apabila pawagam mula dibuka, malah penduduk Terengganu pula teruja apabila pawagam patuh syariah yang mengasingkan tempat duduk lelaki dan wanita diperkenalkan.

Namun usaha murni itu mendapat tentangan apabila terdapat pemimpin parti politik tertentu menggesa kerajaan campur tangan dalam urusan kerajaan negeri Terengganu dengan membatalkan arahan berkenaan pengasingan jantina di pawagam.

Sehubungan dengan itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Md. Nor menyanggah gesaan berkenaan dan berpendapat kerajaan negeri Terengganu tidak perlu akur dengan desakan itu.

Malah katanya, pihak terbabit perlu memahami aspirasi dan orientasi yang dibawa oleh kerajaan Terengganu iaitu maju, berkat dan sejahtera; dan telah pun mengamalkan hiburan patuh syariah bagi tujuan untuk mengelakkan berlaku perkara yang tidak diingini selain untuk mematuhi tuntutan agama Islam, lapor Harakahdaily Isnin lalu.

Pawagam patuh syariah yang melaksanakan zon pengasingan tempat duduk bagi lelaki dan wanita bukan mahram dan juga keluarga berkuat kuasa 4 Julai lalu diperkenalkan Lotus Five Star Cinemas (LFS) Kuala Terengganu yang beroperasi di PB Square.

Peraturan tersebut dikenakan terhadap semua pelanggan termasuk pengunjung bukan Islam.

Menurut Pengurus LFS Kuala Terengganu, Mohd Zulmajdi Razali, pihaknya menerima arahan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memperkenal dan melaksanakan peraturan baru itu kepada semua pelanggan yang berkunjung ke tempat berkenaan.

Difahamkan, pelaksanaan peraturan itu dikuatkuasakan mengikut Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu.

Gambar: Pawagam patuh syariah di Terengganu menetapkan pengasingan tempat duduk bagi lelaki dan wanita bukan mahram. (Harakah Daily)

Pawagam patuh syariah pertama di Terengganu asingkan tempat duduk bukan mahram dipertikai

| Semasa |