Pegawai polis ekori lelaki berbasikal penuh barangan terbuang undang tanda tanya rakan setugas dan rasa sebak warga net

KEBANYAKAN orang akan rasa berdebar dan panik apabila ditahan polis dalam perjalanan walaupun tidak melakukan kesalahan. Perasaan itu datang dengan sendiri tanpa diundang kerana bimbang ada sesuatu yang tidak kena melibatkan diri sehingga menjadi perhatian pihak polis.

Lelaki yang sedang mengayuh basikal roda tiga yang dipenuhi barangan terbuang ini mungkin mengalami perasaan yang sama apabila beliau ditahan seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kerian, Perak.

Video berdurasi 32 saat yang dimuatkan dalam laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ahad lalu memaparkan sifat murni Inspektor G. Saravanan membantu seorang lelaki dengan menghulurkan sedikit sumbangan ketika beliau bersama-sama seorang rakan setugas, Sarjan Asrul Shafawi Jamaluddin melakukan tugasan rondaan.

Kisah yang dipetik dari laman Facebook Asrul Jamaluddin itu membuktikan di sebalik ketegasan polis menjalankan tugas ada sifat lembut dan kemanusiaan di hati mereka.

Beliau berkata, ketika membuat rondaan semalam, mereka terserempak dengan seorang lelaki mengayuh basikal yang sebelum itu leka mengutip barangan terbuang.

Katanya, pegawai itu kemudian meminta beliau berpatah balik dan mengikut lelaki tersebut daripada belakang basikalnya.

Sarjan Asrul Shafawi Jamaluddin pada mulanya tidak dapat menduga tindakan Inspektor G. Saravanan mengekori lelaki yang mengayuh basikal roda tiga itu. (Gambar: Petikan video FB Asrul Jamaluddin)

“Mereka kemudian minta pakcik itu berhenti di tepi. Aku terfikir apa salah pakcik ini.”

“Ya Allah, rupanya Tuan Sara hulurkan sedikit duit belanja kepada pakcik itu. Mulia hati tuan, tanpa mengira bangsa. Hormat tabik bos,” katanya.

PDRM dalam laman sosial itu turut mengucapkan syabas kepada Saravanan dan Asrul serta warga IPD Kerian dalam menyantuni masyarakat setempat.

“Semoga ia menjadi tauladan dan inspirasi buat semua,” katanya.

 “Allah, teringat arwah bapa. Begitu sayangnya dia dalam bidang kepolisan. Tidak sempat pencen, pergi semasa masih berkhidmat. Sekejap je sudah empat tahun,” katanya.

Kisah kemurahan hati pegawai ini mengundang komen menyentuh hati warga net yang berasa sebak dengan kebaikan tersebut dan membawa mereka mengimbau nostalgia ahli keluarga yang juga bertugas sebagai polis.

Gambar: Inspektor G. Saravanan menghulurkan sedikit duit belanja kepada lelaki yang sedang mengayuh basikal ketika terserempak beliau di jalanan. (Petikan video FB Asrul Jamaluddin)

Pegawai polis ekori lelaki berbasikal penuh barangan terbuang undang tanda tanya rakan setugas dan rasa sebak warga net

| Semasa |