Pelajar duduki peperiksaan SPM sejurus selepas pemergian bapa dapat keputusan cemerlang

OLEH ROKIAH ISMAIL
(rokiah@tvalhijrah.com)

TATKALA berita itu duka itu menyapa telinganya, dia baru sahaja selesai menjawab soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk hari terakhir. Ada dua lagi kertas pada sesi petang yang perlu dihadapi.

Faktor orang yang menyampaikan berita sangat besar peranannya dalam mengawal sesuatu keadaan atau reaksi daripada khabar yang disampaikan, lebih-lebih lagi untuk khabar duka. Dia sedikit beruntung kerana guru yang bertugas pada waktu itu terlebih dahulu memberikan nasihat dan pujukan, memintanya supaya tenang dan sabar dalam menerima takdir.

Ayahnya pergi menemui Ilahi. Walaupun keadaan ayahnya sebelum itu agak kurang stabil selepas menjalani pembedahan, tidak disangka beliau pergi pada hari yang sangat penting baginya. Memang Allah mahu mengujinya pada usia semuda itu, betapa ujian itu datang pada mereka yang layak menerimanya.

Wajah-wajah muram menyelubungi rumahnya sebaik sahaja dia tiba. Masing-masing risau menjangka reaksi darinya yang masih berpakaian seragam sekolah. Masing-masing bimbang dia akan menangis tak berkesudahan dan terpaksa membatalkan peperiksaan petang nanti, hanya beberapa jam lagi akan berlangsung.

Ternyata dia muda pada usia, tapi matang dalam mengawal emosi dan kuat mental. Dia akan duduki juga peperiksaan Matematik serta Pendidikan Al-Quran dan Sunnah (PQS) pada petang nanti.

Dia terpaksa meninggalkan jenazah ayahnya yang belum disemadikan kerana perlu menapak ke dewan peperiksaan untuk menghadapi kertas PQS. Saat itulah pertemuannnya dengan almarhum ayahanda tercinta.

Berbekalkan semangat dari Tuhan, dia memujuk diri untuk pasrah dan bertawakkal, serta sentiasa berbaik sangka dengan-Nya.

Dia terpaksa meninggalkan jenazah ayahnya yang belum disemadikan kerana perlu menapak ke dewan peperiksaan untuk menghadapi kertas PQS. Saat itulah pertemuannnya dengan almarhum ayahanda tercinta.

Hari ini, keperitan yang dialami beberapa bulan lalu terbalas tatkala menatap keputusan yang diterima sebentar tadi. Dan dalam keadaan gembira ini juga, dia tetap tenang menerima anugerah Allah Yang Maha Pengasih.

Itulah sifat mukminah berkat didikan dan pesan almarhum ayahnya yang sentiasa menitip nasihat agama setiap kali mereka sekeluarga diterjah musibah.  

Sekurang-kurangnya Allah memberikan peluang kepada dia dan keluarganya, terutama ibu yang masih berada dalam edahnya tersenyum ceria menatap kejayaan anaknya. Dia bukan sahaja berjaya mengharung ujian periksa, tetapi juga ujian hidupnya.

Pelajar duduki peperiksaan SPM sejurus selepas pemergian bapa dapat keputusan cemerlang

| Keluarga, Tumpang Bahu |