Peluklah mereka selagi masih ada ruang dan peluang

OLEH IZZAT SYAMIR ISMAIL
(izzat.syamir@tvalhijrah.com)

JIKA diamati bait lirik lagu ‘Anak’ nyanyian Freddie Aguilar, kita seolah-olah dapat melihat kegembiraan yang terpancar pada wajah sepasang suami isteri menyambut kehadiran orang baharu.

Tempoh masa dan cabaran dalam menunggu zuriat pertama menjadi pengalaman hidup mereka yang tak ternilai. Dan apabila seorang bayi yang masih merah lahir daripada rahim ibunya, disambut dengan laungan azan, berlinang air mata pasangan suami isteri.

Satu dakapan erat pertama untuk bayi kecil yang tidak mampu untuk mengucapkan syukur dan gembiranya berada di samping ibunya. Ubun-ubunnya yang masih lembut ditiupkan perlahan-lahan dengan doa-doa dan harapan supaya menjadi soleh dan solehah keluarga.

Saat kita menanti sebutan ‘ayah, ibu’ buat pertama kali, tidak tersedar betapa cepatnya masa berlalu. Dahulu kita dengan ‘cak cak ba’ tetapi sekarang sudah boleh berborak dengan mereka.

Mereka semakin hari semakin membesar dan teguh menemani hidup kita di waktu senggang mahupun sibuk. Pejamkan mata dan soroti sedalam-dalamnya, memori yang tidak akan dapat kita ulang untuk kedua kalinya. Masa akan terus berlalu meninggalkan kita.

Namun, sedarkah kita? Tubuh kecil itu jualah yang kita heret ke sana ke mari saat ini. Digendong, dipimpin membelah segenap ruang yang ada lebih-lebih saat negara ditimpa masalah terbesar.

Anak-anak yang tidak berdosa masih belum mengerti apa yang sedang terpaksa dihadapi mereka dalam keadaan negara berperang dengan Covid-19. (Gambar sekadar hiasan)

Covid-19 tidak mengira mangsa sama ada kecil besar, muda mahupun tua. Mengapa ada lagi yang masih berdegil. Tidak terdetikkah sedikit rasa kasihan dalam hati untuk anak kecil yang tidak tahu apa-apa?

Sanggupkah kita melihat tubuh kecil berumur 3-4 tahun terlantar di hospital dan terpaksa menyarung topeng pernafasan. Di kiri kanannya pesakit yang bukan dari darah dagingnya sendiri. Dia mungkin mahu meneriak nama ayah dan ibunya. Tiada siapa yang mungkin sedar, tinggallah dia dalam ketakutan yang tidak berpenghujung.

Lebih parah apabila beliau ditinggalkan berseorangan selama berbulan-bulan tanpa diketahui keadaan semasa oleh ibu bapanya. Sanggupkah kita mendengar rayuannya untuk pulang ke rumah?

Bayangkan bagaimana seorang kanak-kanak yang berkemungkinan besar akan menghadapi kematian tanpa seorang pun ahli keluarga di sisi?

Kita berperang bukan dengan senjata tetapi dengan sikap. Sebuah ‘peperangan’ yang mungkin tiada penghujung. Mungkin kasih sayang kian pudar apabila tiba pada waktunya.

Maka, sayangilah mereka dengan mematuhi segala arahan yang dikeluarkan kerajaan. Duduklah di rumah demi mereka, dan sementara masih berpeluang memeluknya.

Peluklah mereka selagi masih ada ruang dan peluang

| Semasa |