Pencetus “kebiadaban tahunan” tidak wajar diberi muka

OLEH ROKIAH ISMAIL
(rokiah@tvalhijrah.com)

PENGHINAAN kepada Raja bukanlah perkara baharu berlaku di negara ini. Ia hanya hangat semasa isu tersebut tular di media, namun ia dilupakan seminggu dua selepas itu sehinggalah berulang kembali isu serupa. Jarang yang mengikuti perkembangan kes yang berlaku sebelumnya.

Setahun lalu, masyarakat telah pun menyaksikan penghinaan kepada Raja khususnya Sultan Muhammad V yang baru sahaja turun takhta pada waktu itu. Polis menahan tiga individu pemilik akaun Facebook dan Twitter yang memuat naik komen berunsur hinaan terhadap baginda berkaitan isu peletakan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV.

Lama sebelumnya, Wan Ji Wan Hussin pernah didakwa kerana menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk membabitkan isu agama dalam laman sosial Facebook dengan nama wanji.attaaduddi.

Terbaru, pemilik akaun Facebook, Aaron Yee secara jelas menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di laman sosial Facebooknya semalam kerana tidak puas hati terhadap pelantikan Perdana Menteri ke-8.

Suspek berusia 35 tahun itu kini disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 iaitu kecenderungan menghasut serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Selain itu, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) JSJ Bukit Aman juga sedang menyiasat pemilik akaun Gavin Lee dan Haizad Azhar kerana melakukan kesalahan sama.

Walaupun tangkapan itu mampu meredakan sedikit kemarahan masyarakat terhadap kebiadaban segelintir warganegara yang tidak menghormati institusi Raja, kerajaan perlu bertindak tegas supaya “kebiadaban tahunan” ini tidak terus menghiasi diari keharmonian warganegara Malaysia.

Walaupun tangkapan itu mampu meredakan sedikit kemarahan masyarakat terhadap kebiadaban segelintir warganegara yang tidak menghormati institusi Raja, kerajaan perlu bertindak tegas supaya “kebiadaban tahunan” ini tidak terus menghiasi diari keharmonian warganegara Malaysia.

Mungkin kita perlu menjeling seketika kepada ketegasan negara lain menghadapi isu ini. Dua tahun lalu di Bangkok, Nurhayati Masoh telah dipenjara satu tahun setengah apabila didapati bersalah menghina raja dengan memuat naik rencana oleh ahli akademik Britain Thai, Giles Ungpakorn yang terkenal dengan kritikan lantangnya terhadap monarki negara itu. Walaupun tidak menyedari kesan daripada perlakuannya itu, dia tetap dihukum setelah mengaku bersalah.

Begitu juga Sulak Sivaraksa yang menghadapi tuduhan menghina kerabat diraja Thailand ketika bercakap dalam satu forum pada tahun 2014. Sulak seorang aktivis berdepan hukuman penjara 15 tahun jika didapati bersalah.

Manakala Prawet Prapanukul juga tidak terkecuali dari hukuman walaupun dia merupakan seorang peguam terkenal serta penasihat undang-undang dalam kes penghinaan kerajaan tingkat tinggi di Thailand. Dia dihukum 150 tahun penjara atas beberapa akta kesalahan menghina raja dan menghasut.

Kes-kes di atas hanyalah sebahagian kecil daripada serangkaian kes penghinaan kepada raja di Thailand khususnya, atau di seluruh dunia umumnya. Menurut laporan Kumpulan Peguam Thailand untuk Hak Asasi Manusia, sehingga 2017 sekurang-kurangnya 93 kes menghina raja membabitkan 138 individu didapati bersalah sejak tentera merampas kuasa pada 2014 di Thailand.

Penggunaan undang-undang lese-majeste di negara itu meningkat di bawah kerajaan junta yang mengambil alih kuasa menerusi kudeta, dengan lebih daripada 100 orang dituduh sejak kudeta, menurut kumpulan pemantauan undang-undang iLaw.

Berbeza dengan Malaysia ketika ini, mereka yang menghina institusi Raja hanya didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) melalui Seksyen 233(1)(a) dan Seksyen 233(3). Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan denda RM1,000 bagi kesalahan berulang.

Menyedari kepincangan dalam menangani isu inilah, terdapat pengamal undang-undang dan pakar sejarah menggesa supaya individu yang didapati salah menghina institusi Raja dikenakan hukuman lebih berat, termasuk penjara mandatori.

Hal ini memerlukan penggubalan akta baru yang khusus kerana perbuatan menghina Raja atau Sultan tidak sama dengan menghasut yang termaktub di bawah akta sedia ada. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sitem Raja Berpelembagaan yang meletakkan Raja sebagai kuasa tertinggi khususnya dalam hal ehwal agama Islam, penghinaan kepada institusi raja merupakan satu kesalahan besar dan tidak boleh dipandang remeh.

Justeru itu akta baru tersebut perlu diasingkan kerana martabat institusi Raja ini amat tinggi dalam sistem sosial masyarakat Melayu Islam sejak era kegemilangan kesultanan Melayu. Ini kerana perkembangan Islam berkait rapat dengan peranan Raja, dan sejarah membuktikan bahawa institusi ini telah wujud lama sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Amatlah melampau bagi rakyat di sebuah negara Islam dan mempunyai ciri-ciri unik pemerintahan beraja ini tanpa segan silu menghina rajanya sendiri, apatah lagi kesetiaan kepada Raja dan negara diletakkan pada turutan kedua daripada lima prinsip Rukun Negara. 

Penghinaan ini menunjukkan mereka seakan-akan tidak menerima kedudukan Raja sebagai ketua agama Islam pada peringkat negara dan negeri yang diperintah Raja serta menjadi simbol kedaulatan Melayu.

Maka, sebelum rakyat negara ini bertambah hilang nilai patriotik dan mengalami kelunturan sahsiah dan nilai, akta khusus ini perlu digubal dan dikuatkuasakan segera bagi menangani penghinaan terhadap Raja atau Sultan. Jangan bagi muka lagi pada warganegara biadab ini. Ini kerana keadilan yang ditangguhkan adalah keadilan yang dinafikan (Justice delayed is justice denied).

Pencetus “kebiadaban tahunan” tidak wajar diberi muka

| Semasa |