Penghinaan nama Allah secara berterusan, perlu pendidikan satu aliran semai sifat hormat sejak kecil

INSIDEN penghantar makanan memukul pelanggan yang menempah makanan menggunakan nama Allah dan isu penularan video yang mempermainkan azan dan bacaan al-Quran oleh sekumpulan remaja membuktikan penghinaan terhadap kalimah Allah dan agama Islam berterusan berlaku di negara ini.

Ia mendorong kita berfikir sama ada adakah warganegara bukan Islam di negara ini tidak menyedari sensitiviti agama orang Islam atau umat Islam sendiri terlalu sensitif apabila isu yang melibatkan agama mereka? Sudah tiba masanya untuk kita meneliti kelompongan yang membawa kepada keretakan perpaduan ini.

Kaum bukan Islam di negara ini haruslah memahami bahawa Muslim telah dididik sejak kecil agar menghormati bahkan memuliakan agama mereka. Muslim sanggup berkorban menggadaikan nyawa dan harta mereka untuk Islam. Ia adalah satu rukun yang telah terbenam di dalam jiwa Muslim.

Malah kaum muslim dilarang sama sekali untuk mempersenda atau mempermainkan kalimah Allah. Gurauan atau ejekan dalam isu akidah yang berkait dengan nama Allah akan menyebabkan status keislaman seorang muslim boleh terjejas.

Allah menegur sikap manusia (kaum munafik) yang mempersenda kalimah Allah dalam firman-Nya: “Dan jika engkau bertanya kepada mereka (orang munafik) (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah bergurau dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu beriman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah. (Surah al-Taubah: 65-66)

Lelaki yang mempersendakan nama Allah ketika memesan makanan dibawa orang ramai ke balai polis. (Gambar: Malakat Tribune)

Bukan itu sahaja, orang Islam juga dididik agar menghormati agama lain. Bukan sahaja agama Islam wajib dijaga, kedudukan agama lain turut dipelihara. Orang Islam diperintahkan agar menghormati agama lain bahkan melarang muslim mengejek-ejek fahaman penganut lain.

Ini kerana, sikap saling mengejek bukan sahaja menjejas keharmonian hubungan bahkan mencetus permusuhan yang merosakkan. Firman Allah: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. (Surah al-An’am: 108)

Begitu indah ajaran Islam dalam memuliakan nama Allah dan mendidik mereka agar menghormati agama lain. Dua perkara ini disemat di dalam jiwa muslim bagi melahirkan insan yang mempunyai kefahaman yang jelas dalam hubungan antara agama.

Oleh yang demikian, tidak hairanlah kaum muslim sangat sensitif dalam isu agama kerana mereka diasuh agar memuliakan Allah dan menghormati agama lain. Melihat segelintir warganegara ini yang menghina kalimah Allah adalah sesuatu yang amat mendukacitakan buat seorang muslim.

Oleh yang demikian, tidak hairanlah kaum muslim sangat sensitif dalam isu agama kerana mereka diasuh agar memuliakan Allah dan menghormati agama lain. Melihat segelintir warganegara ini yang menghina kalimah Allah adalah sesuatu yang amat mendukacitakan buat seorang muslim.

Justeru itu, untuk menyemai sikap saling menghormati antara agama ini antaranya dengan memperkasa pendidikan di peringkat awal kanak-kanak. Hidupkan semula pendidikan satu aliran yang menyemai sifat menghormati sejak dari kecil.

Kewujudan sekolah berasaskan bangsa dibimbangi hanya menjadi tembok pemisah sejak dari kecil. Apatah lagi andai sekiranya sekolah tersebut hanya menerima pengambilan dari kaum tertentu sahaja, sudah tentu ia akan membataskan kefahaman dan melebarkan jurang persefahaman di antara masyarakat di Malaysia.

Selain itu, menggalakkan muslim untuk mempelajari bahasa ketiga seperti Bahasa Mandarin dan Tamil juga boleh diterapkan dalam sistem pendidikan. Ini bukanlah satu perkara yang asing dalam Islam bagi tujuan dakwah.

Rasulullah SAW sendiri pernah memerintahkan agar Zaid bin Thabit untuk mempelajari bahasa Ibrani bagi tujuan terjemahan dan komunikasi Rasulullah dengan Yahudi. Penguasaan muslim dalam bahasa ketiga ini memberikan ruang yang lebih luas dari aspek dakwah dan membina keharmonian antara kaum.

*Gambar: Tangkap layar video yang menunjukkan sekumpulan penghantar makanan yang mengejar seorang lelaki yang didakwa memprovokasi agama Islam ketika memesan makanan.

*Dr Ahmad Sanusi Azmi adalah Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

PENAFIAN: Hbit.my tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Penghinaan nama Allah secara berterusan, perlu pendidikan satu aliran semai sifat hormat sejak kecil

| Agama, Kolumnis, Semasa |