Penghormatan dan kepercayaan Rasulullah terhadap OKU, sahabat cacat penglihatan diamanahkan jaga Madinah

BAGI manusia yang berfikir akan melihat setiap penciptaan Allah itu penuh keindahan dan seni, meningkatkan lagi ketakjubannya kepada kebesaran Allah SWT yang mencipta sesuatu tanpa sia-sia.

Namun bagi insan yang berpemikiran cetek dan rendah akhlak serta adabnya akan melihat sesuatu ‘kekurangan’ itu mengikut acuan nafsunya.

Tidak hairanlah sekiranya kita terserempak dengan video dan kata-kata penghinaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) di media sosial, sama ada untuk suka-suka atau dijadikan modal meraih populariti.

Hakikatnya, kelakuan buruk ini sangat bertentang dengan sunnah Rasulullah SAW yang sangat menghormati golongan OKU. Melalui beberapa hadis, Rasulullah menunjukkan betapa tingginya penghormatan Baginda kepada golongan ini.

Dr Sanusi Azmi, Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah USIM dalam saluran Telegramnya berkata, Imam al-Bukhari merekodkan dialog yang berlaku di antara Rasulullah SAW dengan ‘Itban ibn Malik, seorang ahli Badr yang telah buta. Oleh kerana sukar untuk ke masjid disebabkan beberapa faktor, Rasulullah telah menunaikan permintaan ‘Itban untuk solat bersama dengan beliau di rumah beliau.

Petikan video tular ini memaparkan wanita-wanita berpakaian penunggang basikal sedang memasuki tandas OKU sambil berlakon mempersendakan golongan itu. (Gambar hiasan media sosial).

Menurut Abu Nu’aim al-Asbahani, Rasulullah juga pernah memuji dan menyanjung Amru ibn al-Jamuh, seorang yang cacat kakinya dengan menggambarkan keadaan beliau yang sempurna di syurga kelak.

Bukan hanya menghormati dan menyantuni golongan istimewa ini dengan baik, Rasulullah juga meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada Abdullah ibn Ummi Makhtum, seorang yang cacat penglihatan untuk menjaga Madinah ketika para pejuang Muslim pergi berjihad. Rasulullah juga pernah melantik beliau sebagai juruazan di Madinah.

Jika Rasulullah SAW yang mulia itu pun menghormati mereka, apatah lagi kita insan yang penuh dosa dan belum tentu lebih baik daripada golongan yang dihina itu. Gunalah kesempatan usia yang ada untuk terus mengkaji hikmah di sebalik penciptaan-Nya, semoga bertambah iman di dada.

Gambar hiasan: Salah seorang wanita yang mengejek cara jalan OKU ketika keluar tandas yang dikhaskan untuk golongan itu. (Media sosial)

(11)

Penghormatan dan kepercayaan Rasulullah terhadap OKU, sahabat cacat penglihatan diamanahkan jaga Madinah

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>