Penonton sanggup sengkang mata tonton TV AlHijrah waktu dinihari bukti masyarakat dahagakan rancangan berbentuk kerohanian

MENONTON pada waktu senggang atau santai-santai untuk mengisi masa itu perkara biasa, tetapi berusaha menonton atau memilih rancangan yang bersiaran pada pukul dua hingga tujuh pagi membuktikan seseorang itu sememangnya menonton dengan maksud tertentu.

Data bersumberkan Nielsen Media Research untuk Januari hingga November 2023 selain menunjukkan TV AlHijrah kekal sebagai saluran televisyen Islamik nombor satu negara di mana prestasi pada tahun ini mencatatkan tontonan paling tinggi sejak bersiaran 13 tahun lalu, juga meletakkan stesen ini sebagai saluran nombor dua pilihan penonton berbanding saluran-saluran lain pada waktu dinihari hingga awal pagi.

Ia fakta baharu yang boleh membantu kepada perancangan yang lebih jitu untuk masa depan memandangkan gaya tontonan yang “tidak kira masa” itu. Hal ini menunjukkan stesen ini mempunyai peminat tersendiri; iaitu penonton yang memilih gaya hidup Islam. Ini kerana pemilihan waktu tersebut sangat sesuai dengan rancangan berkonsepkan kerohanian di mana kerja-kerja mentadabbur dan memuhasabah diri tepat pada waktu hening itu.

Menempatkan rancangan Siaran Langsung dari Mekah pada pukul 2 hingga 4 pagi, Qurantime berdurasi satu jam selepasnya, rancangan Quran @114 pada pukul 5 hingga 6 dan diteruskan siaran langsung Assalam Subuh pada pukul 6 hingga 7 pagi pada slot tersebut dikira sangat tepat untuk peminat stesen berkonsepkan Islam ini.

Fakta yang menunjukkan TV AlHijrah sebagai saluran Islamik pertama pilihan penonton pada empat bulan penting umat Islam iaitu Ramadan, Syawal, musim Haji serta sambutan Awal Muharam dan Maulidur Rasul juga menyokong dapatan ini di mana penonton memilih stesen ini sebagai rujukan memperingati hari dan peristiwa penting umat Islam.

Istiqamah menyiarkan rancangan patuh syariah dan tidak larut dalam arus hiburan yang mengenepikan konsep penyiaran sihat mutakhir ini memberi satu keunikan untuk TV AlHijrah sehingga berjaya meningkatkan jumlah tontonan pada Ramadan tahun ini sehingga meningkat 151 peratus berbanding Ramadan tahun lalu – peningkatan tertinggi dalam sejarah penubuhan.

Kecaknaan dan kupasan berita tentang pembantaian rakyat Palestin di belahan dunia sana melalui kempen #PalestinKembali sejak awal berlakunya #TaufanAlAqsa mampu menarik bebola mata penonton untuk terus mengikuti perkembangan semasa dunia Islam melalui stesen ini.

Kempen rentas sempadan yang masih diteruskan sehingga kini meletakkan TV AlHijrah pada kedudukan lima teratas Kedudukan Saluran Melayu (Top 5 Malay Channel Ranking) daripada semua saluran.

Kejayaan ini sekaligus membuktikan pengiktirafan dan kepercayaan masyarakat kepada stesen ini sebagai sumber rujuk yang berkredibiliti dan berintegriti dalam laporannya, selari dengan konsep berdakwah yang menekankan sifat siddiq, (selalu berkata jujur), amanah, (dapat dipercaya), tabligh (menyampaikan) dan fathonah (bijaksana).

Gambar: Tangkap layar petikan video rancangan Quran@114.

(1850)

Penonton sanggup sengkang mata tonton TV AlHijrah waktu dinihari bukti masyarakat dahagakan rancangan berbentuk kerohanian

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>