Pereka perhiasan bakal hasilkan pelitup muka termahal untuk jualan, tetapi beliau sendiri enggan memakainya kerana mungkin kurang selesa

SESEORANG usahawan itu akan mengambil peluang keemasan di setiap keadaan, seringkali pula berupaya menukar masalah kepada keuntungan.

Peluang menambah kekayaan ini direbut seorang pereka syarikat perhiasan di Israel untuk mencipta pelitup muka daripada emas dan berlian yang harganya mencecah AS$1.5 juta (kira-kira RM 6 juta).

Pelitup muka rekaan Isaac Levy yang juga merupakan pemilik Yvel dijangka siap sepenuhnya Disember ini didakwa termahal di dunia setakat ini, diperbuat daripada lapisan emas putih 18 karat dan ditaburi berlian putih dan hitam sejumlah 3,600 butir, lapor portal Independent.

Isaac Levy di sisi pelitup muka hasil rekaannya yang mahal dan unik. Foto AP

Hanya mencipta untuk orang lain, Issac mengakui tidak akan memakai pelitup muka itu kerana beratnya mencapai 270 gram dan mungkin kurang selesa dipakai.

Dalam pada itu, beliau berharap akan ada golongan kaya membeli pelitup muka super mewah keluaran syarikatnya dan memastikan hasil rekaannya itu memenuhi syarat Lembaga Pentadbiran Ubatan dan Makanan Amerika Syarikat (FDA).

Sebelum ini telah terdapat dua pelitup muka yang tular di media sosial kerana harganya yang mahal serta unik.

Satu daripada ialah topeng muka diperbuat daripada emas bernilai RM170,000 yang dipakai jutawan India dan satu lagi pelitup muka dwi fungsi daripada 310 butir mutiara berharga 1,000,000 yen (hampir RM40,000) hasil rekaan pereka fesyen Jepun.

Gambar: Pelitup muka termahal yang dihasilkan syarikat perhiasan Israel. (AP)

Pereka perhiasan bakal hasilkan pelitup muka termahal untuk jualan, tetapi beliau sendiri enggan memakainya kerana mungkin kurang selesa

| Semasa |