Pergi sekolah tanpa sesen pun duit belanja, pelajar menumpang kasih nenek raih 6A dalam SPM

KESUKARAN hidup yang dilalui hingga terpaksa ke sekolah dengan tangan kosong tanpa sesen pun duit belanja bukanlah hal yang luar biasa buat Muhammad Zulfadli Redzwan Sabri. Malah Muhammad Zulfadli atau lebih mesra dipanggil Zul, sudah terbiasa berlapar.

Meskipun hidup serba kekurangan di rumah kecil dua bilik bersama nenek dan bapa saudaranya, tetapi Zul yang bakal berusia 18 tahun Disember ini bukanlah remaja yang suka meminta-minta. Zul sedar, berapa sangatlah pendapatan diperolehi neneknya melalui jualan kuih-muih dan hasil sayuran serta ubi yang ditanam berhampiran flat empat tingkat yang didiami mereka itu.

Zul kini hanya bergantung harap dan menumpang kasih dengan neneknya, Asiah Tokimin, 66, selepas ditinggalkan kedua-dua ibu bapa 12 tahun lalu berikutan perselisihan keluarga.

Tiga bulan lalu, Asiah yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung terjatuh di bawah flat menyebabkan tisu lututnya koyak. Sejak itu, tiada lagi pendapatan diperoleh berikutan tidak lagi berdaya menjual kuih dan sayur-sayurannya.

Warga emas ini hanya bergantung kepada bantuan berjumlah RM450 sebulan yang diperoleh daripada Baitulmal untuk menanggung kehidupan mereka berdua.

Cikgu Haslindar Nor datang ke kedai serbaneka tempat Zul bekerja ketika memaklumkan keputusan yang diperoleh pelajarnya itu, baru -baru ini.

Kedaifan hidup yang dialami tidak menjadi alasan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mulia ini mengabaikan pelajaran. Saban malam, laluan koridor di hadapan rumahnya ‘menjadi saksi’ akan ketabahan anak tunggal ini menuntut ilmu.

Dengan bertemankan sebuah meja dan kerusi, di situlah Zul mengulangkaji pelajaran selama beberapa jam bagi menghadapi Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Februari lalu walaupun dia mampu membeli telefon pintar untuk mengikuti PdPR.

Memahami masalah dihadapi Zul, guru kelasnya, Haslindar Nor Ismail, berusaha mengumpul dana bagi membolehkan pelajar berkenaan dapat belajar secara dalam talian dengan mudah sebelum SPM.

Berkat kegigihannya, Zul yang kini bekerja di sebuah kedai serbaneka sejak April lalu, berjaya memperoleh keputusan cemerlang 6A bagi subjek Bahasa Melayu, Sains, Sains Rumah Tangga, Sejarah, Pendidikan Islam dan Seni Visual dan berhasrat menyambung pengajian dalam bidang Pendidikan untuk membalas segala pengorbanan neneknya.

Untuk menderma sila layari https://ybim.org.my/suaraasnaf/ dan tekan Asnaf 45 atau terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Gambar: Zul cekal mengulangkaji pelajaran dalam keadaan bising setiap hari di laluan koridor di hadapan rumahnya sebagai persediaan menghadapi SPM, Februari lalu.

Pergi sekolah tanpa sesen pun duit belanja, pelajar menumpang kasih nenek raih 6A dalam SPM

| Advertorial, Semasa |