Perjalanan terakhir seorang pendakwah – Almarhumah Ustazah Shadiya Abbas

OLEH ROKIAH ISMAIL
(rokiah@tvalhijrah.com)

“ALHAMDULILLAH… Selesailah sudah urusan pengkebumian jenazah buah hati dan bidadari saya petang tadi jam 4.00 petang (6 April2020) di Tanah Perkuburan Puncak Alam. Segalanya dipermudahkan Allah…”

Itulah kata-kata daripada suami Almarhumah Ustazah Shadiya Abbas yang meninggal kerana sesak nafas pada Subuh 5 April lalu, yang diluahkan dalam laman Facebooknya semalam, usai sahaja upacara pengebumian isterinya.

Hati siapa sahaja pasti tersentuh membaca luahan sayu Ustaz MK Azman, apatah lagi membaca perihal urusan jenazah dari awal sampai akhir.

“Urusan mandikan jenazahmu sayang dilakukan oleh ibumu, adik beradik perempuanmu, anak-anak lelakimu dan anak muridmu yang menawarkan diri untuk berkhidmat untukmu sayang. Abang ambil peluang ini untuk memandikanmu buat kali terakhir. Masih ingat lagi dua hari sebelum sayang meninggalkan abang, sayang mandikan abang.”

Ternyata pasangan pendakwah ini menjalani kehidupan “mawaddah wa rahmah” sepanjang jodoh mereka dan sentiasa menjadi bualan dan contoh kepada peminat dan rakan-rakan seperjuangan.

“Sayang… Abang imamkan solat untukmu. Sebelum ini sayang berada di belakang sebagai makmum, tapi kali ini sayang di depan abang. Bukan sebagai imam tetapi sebagai jenazah,” luah Ustaz MK Azman lagi, mengundang sebak kepada sesiapa yang membacanya.

Pandangan sayu seorang kanak-kanak yang dipercayai anak bongsu Almarhumah Ustazah Shadiya yang turut berada pada upacara pengebumian di Tanah Perkuburan Puncak Alam semalam. (FOTO: FB MK AZMAN)

Almarhumah amatlah beruntung kerana pemergiannya diiringi keredhaan suami yang sangat menyanjunginya. Apa lagi yang diperlukan seorang hamba yang solehah sekiranya diperakui sebagai insan mukminah oleh suami sendiri.

Ternyata Almarhumah menjadi kebanggaan suaminya selama hidup dan pada saat mereka berpisah di dunia. Diibaratkan guru, sahabat, ibu dan isteri solehah, Almarhumah membawa cintanya kepada suami hingga ke liang lahad.

“Sayang… damailah engkau di sana, abang redha dengan pemergiaanmu. Sayang telah sempurna melaksanakan tugas sebagai seorang isteri, ibu, anak, guru dan sahabat. Insya Allah kita bertemu nanti di alam barzakh, padang mahsyar dan sama-sama masuk syurga,” tulis beliau.

Pemergian Almarhumah Ustazah Shadiya adalah sebuah kematian yang dicemburui oleh semua yang bergelar mukmin dan mukminah. Pemergian yang diiringi sebuah kasih dan cinta dari keluarga dan rakan-rakan seperjuangan serta seluruh anak murid yang pernah mendengar perkataan baik dari lisannya.

Semoga Allah mengampuni segala dosanya dan menempatkan beliau dalam kalangan mereka yang beriman dan mendapat rahmat-Nya.

Gambar: Kucupan terakhir oleh Ustaz MK Azman untuk isterinya Almarhumah Ustazah Shadiya Abbas sebelum berpisah di tanah perkuburan.

Perjalanan terakhir seorang pendakwah – Almarhumah Ustazah Shadiya Abbas

| Semasa |