Pernah susah bersama namun akhirnya ditinggal suami tanpa khabar semasa hamil, wanita ini bangkit demi masa depan tujuh anak

DITINGGALKAN suami tanpa khabar berita ketika sedang sarat hamil anak bongsu lebih setahun lalu, menjadi tamparan hebat buat Nurul Shahzamul Hidayah Mohd Sham, 30. Namun wanita tabah ini yang kini memikul tanggungjawab besar menjalankan peranan ibu dan ayah kepada anak-anaknya terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan demi memastikan perut tujuh anaknya yang masih kecil terisi.

Hilang tempat bergantung sekelip mata, Hidayah berkata, dia perlu bangkit dan memikirkan cara mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak kerana enggan meminta-minta atau menyusahkan sesiapa.

Tidak mempunyai sebarang pengangkutan tambah lagi tidak tahu memandu, Hidayah ‘patah kaki’ kerana selama ini mengharapkan suami untuk pergi ke mana-mana. Menggambarkan suaminya yang bekerja sebagai ‘wireman’ sebagai amat bertanggungjawab, bapa yang penyayang dan sentiasa memastikan keperluan keluarga dipenuhi; sehinggalah dia tiba-tiba menghilangkan diri selepas keluar rumah pada Februari tahun lalu.

Sehingga kini Hidayah tiada jawapan dan tidak tahu punca sebenar mengapa lelaki berkenaan menghilangkan diri tanpa khabar berita. Hidayah terpaksa meneruskan hidup walapun ujian yang dihadapinya sangat pahit. Dia tidak mahu mementingkan diri dengan tenggelam dalam kesedihan sehingga mengabaikan tanggungjawab membesarkan anak-anak.

Dengan sisa semangat yang ada, wanita ini bangkit kerana mahu memberi kehidupan yang selesa untuk anak-anak. Dia yang sebelum ini bergantung penuh kepada suami, mengambil keputusan membuat perniagaan secara ‘dropship’ dan menjadi ejen kek Mamasab untuk menyara keluarganya dan kini mampu meraih pendapatan kira-kira RM500 sebulan.

Hidayah yang sarat hamil tujuh bulan gigih menjual nasi lemak dan jagung sepanjang pelaksanaan PKP tahun lalu untuk menampung perbelanjaan keluarga dan mengumpul perbelanjaan untuk bersalin.

Walaupun hanya menjadi ejen kecil, namun Hidayah amat bersyukur pendapatan yang diperoleh itu sedikit sebanyak membantunya ‘bernafas’ kerana terbelit masalah kewangan yang kritikal tahun lalu. 

Dengan ‘mengusung’ perut kerana sarat hamil tujuh bulan, Hidayah menjual kuih di depan rumah ketika Ramadan demi sesuap nasi. Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, untuk menampung perbelanjaan keluarga dan menyediakan persiapan bersalin, Hidayah turut menjual nasi lemak di hadapan sebuah bank di pekan Rawang sehingga pukul 9 pagi.

Selepas itu, dia akan berniaga jagung pula di hadapan stesen minyak di pekan Rawang bermula pada pukul 11 pagi hingga ia habis dijual dengan meminta bantuan adik iparnya kerana tidak tahu memandu.

Walaupun suami menghilangkan diri namun hubungan Hidayah dengan keluarga mentua masih baik.  Hidayah bekerja keras kerana tidak mahu anak-anaknya hidup susah. Mereka pernah tinggal sehelai sepinggang selepas rumah kedai yang ditumpangi terbakar pada tahun 2017.

Semua barang yang ada di dalam rumah sewanya tidak dibeli, sebaliknya dikutip dari tong sampah. Mereka sekeluarga hidup dalam keadaan daif sehingga terpaksa mengutip sisa makanan yang dibuang di tapak pasar malam untuk mengisi perut.

Hidup mereka sekeluarga ketika itu amat sukar kerana tiada tempat untuk dituju. Selepas kebakaran itu, disebabkan tiada apa yang tinggal kecuali baju yang menyaluti badan, suami Hidayah banyak mencari barang seperti kerusi atau mesin basuh yang dibuang untuk digunakan. Barangan yang rosak itu diperbaiki kerana mereka tidak mempunyai wang.

Semua barang yang ada di dalam rumah sewanya tidak dibeli, sebaliknya dikutip dari tong sampah. Mereka sekeluarga hidup dalam keadaan daif sehingga terpaksa mengutip sisa makanan yang dibuang di tapak pasar malam untuk mengisi perut.

Hidayah dan suami akan memilih dan rasa dahulu makanan itu. Jika masih elok mereka akan membawanya balik ke rumah untuk dimakan bersama anak-anak.  Disebabkan itu, Hidayah tidak mahu lagi anak-anaknya melalui lagi perkara yang sama. Dia sanggup bekerja keras demi memastikan dia dapat menyediakan makanan, membeli susu dan lampin pakai buang untuk semua anaknya setiap bulan.

Walaupun pernah terputus bekalan susu dan makanan selama seminggu berikutan wang zakat yang diperoleh lambat masuk, Hidayah sedaya upaya memastikan anak-anaknya tidak berlapar.

Gambar: Hidayah melayan anak-anaknya melihat sumbangan YBIM ketika kunjungan Suara Asnaf di rumahnya di Taman Idaman, Serendah, baru-baru ini

Untuk menderma sila layari ybim.org.my/suaraasnaf dan tekan Asnaf 34 atau  terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Pernah susah bersama namun akhirnya ditinggal suami tanpa khabar semasa hamil, wanita ini bangkit demi masa depan tujuh anak

| Advertorial, Semasa |