Persenda OKU, warga maya doakan wanita penunggang basikal alami kemalangan dan jadi OKU

TIDAK lama selepas tular video lelaki berlakon menjadi orang cacat bagi meletakkan kenderaan di petak khas golongan orang kurang upaya (OKU), kini heboh pula gelagat beberapa orang wanita dengan sengaja mempersendakan golongan ini.

Kelakuan dua orang wanita berpakaian seperti penunggang basikal berlakon sebagai orang cacat untuk menggunakan tandas OKU di sebuah stesen minyak yang dirakam melalui video berdurasi sembilan saat turut tular di media sosial. Turut kedengaran suara perakam dan wanita terbabit bergelak ketawa dengan kelakuan tersebut.

Tindakan seumpama ini memaparkan betapa tidak berakhlaknya mereka. Paparan video tersebut bukan sahaja mengguris perasaan golongan OKU malah menggambarkan mentaliti masyarakat yang perlu diperbaiki.

Menurut Dr Ahmad Sanusi Azmi, Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah USIM dalam laman Facebooknya, Rasulullah SAW mendidik para sahabat agar menyantuni kekurangan yang ada pada sahabat yang lain, bukan menjadikan kekurangan mereka bahan lawak jenaka.

Petikan video tular ini memaparkan wanita-wanita berpakaian penunggang basikal sedang memasuki tandas OKU sambil berlakon mempersendakan golongan itu. (Gambar media sosial).

Menoleh sirah, Baginda pernah menegur perbuatan sahabat yang mentertawakan Saidina Abdullah bin Mas’ud kerana beliau memiliki betis yang kurus.

“Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, kedua betis beliau (yang kamu ejek itu) lebih berat timbangannya dari Bukit Uhud.” (HR Ahmad).

Rasulullah juga turut mencela mereka yang bergurau hanya semata-mata untuk mendapat gelak ketawa dari orang lain tanpa memikirkan gurauan tersebut wajar atau tidak. Rasulullah menegaskan:

“Seorang hamba mengucapkan perkataan bagi tujuan bergurau (untuk digelak) sedangkan perkataan tersebut boleh membawanya ke neraka yang jarak keduanya antara langit dan bumi.” (Mirqa al-Mafatih)

“Rasulullah sangat memuliakan golongan OKU. Al-Imam al-Bukhari merekodkan dialog yang berlaku di antara Rasulullah dengan ‘Itban ibn Malik, seorang ahli Badr yang telah buta. Oleh kerana sukar untuk ke masjid disebabkan beberapa faktor, Rasulullah telah menunaikan permintaan ‘Itban untuk solat bersama dengan beliau di rumah beliau. Demi memuliakan beliau, Rasulullah sanggup ke rumah beliau untuk solat bersama,” jelas Dr Ahmad Sanusi.

Mengutip jumlah “like” di media sosial dengan menghina orang lain bukan sahaja memaparkan kebodohan diri sendiri, malah mengundang bencana apabila komen-komen yang mendoakan keburukan kepada pelaku mungkin dimakbulkan Allah. Hidup ini bagai putaran roda.

Rasulullah pernah memuji dan menyanjung Amru ibn al-Jamuh, seorang yang cacat kakinya. Baginda memuji beliau dan menggambarkan keadaan beliau yang sempurna di syurga kelak. Begitu juga sikap meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada Abdullah ibn Ummi Makhtum, seorang yang cacat penglihatan untuk menjaga Madinah ketika para pejuang Muslim pergi berjihad.

“Ini kerana kecacatan atau kekurangan fizikal tidak pernah merendahkan kedudukan seorang Muslim. Yang menjatuhkan nilai diri mereka adalah disebabkan kerana kurangnya adab dan lemahnya akal dalam menilai kewajaran sesuatu tindakan,” tegas beliau lagi.

Mengutip jumlah “like” di media sosial dengan menghina orang lain bukan sahaja memaparkan kebodohan diri sendiri, malah mengundang bencana apabila komen-komen yang mendoakan keburukan kepada pelaku mungkin dimakbulkan Allah. Hidup ini bagai putaran roda.

Gambar: Salah seorang wanita yang mengejek cara jalan OKU ketika keluar tandas yang dikhaskan untuk golongan itu. (Media sosial)

Persenda OKU, warga maya doakan wanita penunggang basikal alami kemalangan dan jadi OKU

| Agama, Semasa |