Petugas pembersihan tetamu di rumah Allah

OLEH IZZAT SYAMIR ISMAIL
(izzat.syamir@tvalhijrah.com)

DI SEBALIK serangan penularan wabak Covid-19 yang telah meragut ribuan nyawa, tersimpan pelbagai hikmah dan rahmat buat umat manusia.

Berita penutupan dua kota suci umat Islam iaitu Mekah dan Madinah untuk sementara waktu telah menghadirkan perasaan penuh sedih dan hiba. Namun sudah tentu terselit hikmah pada setiap perancangan Allah s.w.t.

Pihak berkuasa Arab Saudi telah melarang jemaah berhimpun di kawasan dataran Masjidil Haram dan Madinah dalam usaha membendung penyebaran Covid 19 ini.

Raja Arab Saudi sebelum ini berkata pihak kerajaan telah mengambil langkah yang sepatutnya bagi memerangi penularan wabak ini serta memastikan setiap penduduk mempunyai ubat, makanan dan barang keperluan semasa menghadapi krisis ini. 

Baginda juga berharap agar rakyatnya sentiasa berdoa dan bergantung harap pada bantuan Allah. Pada ketika ini, keadaan kedua-dua kota suci ini sentiasa dipantau dengan bantuan para petugas kebersihan dalam membasmi wabak Covid-19 ini.

Jika sebelum ini setiap sudut ruang masjid di dua kota suci ini dipenuhi jemaah yang melaksanakan ibadah umrah namun kini hanya para petugas pembersihan yang dibenarkan.

Gambar dari Instagram Fatih Seferagic ini memaparkan petugas pembersihan Masji Nabawi sedang menunaikan solat di masjid itu.

Gambar yang dikongsikan oleh Fatih Seferagic di laman Instagramnya menunjukkan kelompok petugas pembersihan solat berjemaah di dalam ruang Masjid Nabawi.

Kini, para pekerja inilah antara jutaan manusia yang diberikan peluang seluas-luasnya oleh Allah untuk mendirikan solat dan berdoa di tempat yang penuh berkat ini. Inilah tanda kebesaran dan rahmat Allah yang diberikan kepada hamba-Nya yang dipilih.

Dahulu merekalah di antara ribuan pekerja yang sentiasa istiqamah dalam menjalankan tugas pembersihan serta melayan para tetamu Allah yang hadir dari setiap pelusuk dunia tetapi kini merekalah yang menjadi pengganti agar kesucian rumah Allah ini sentiasa dipelihara.

Kita yakin dan percaya mereka inilah juga antara orang-orang yang menitipkan doa kepada Allah agar penularan wabak Covid-19 ini tidak berpanjangan dan  segera dilenyapkan.

Janganlah pernah ragui kekuasaan Allah. Teruskan berdoa warga Malaysia!

Petugas pembersihan tetamu di rumah Allah

| Semasa |