PKP hadiahkan langit biru kepada manusia

OLEH ROKIAH ISMAIL
(rokiah@tvalhijrah.com)

MUNGKIN ramai yang menyedari sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) alam kelihatan ketara berbeza dengan sebelumnya. Langit makin membiru, tiada lagi apungan asap dan debu yang sentiasa menyesakkan dada. Manusia membeli keindahan alam dengan sedikit pengorbanan – duduk di rumah.

Ternyata aktiviti manusia di mana-mana sahaja menyebabkan alam terseksa dan menderita. Apatah lagi di negara-negara yang berlatar belakangkan industri sebagai penyumbang utama ekonomi. Di Malaysia, kadar pencemaran udara berkurangan dengan ketara di seluruh negara.

Menurut Menteri Kementerian Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan, tindakan PKP bukan sahaja dapat memutuskan rantaian Covid-19 malah dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Ini kerana aktiviti seperti pelepasan asap kenderaan, asap cerobong industri dan pembakaran terbuka yang banyak menyumbang kepada pencemaran udara telah berkurangan.

Analisis terperinci Jabatan Alam Sekitar (JAS) ke atas beberapa parameter utama iaitu Nitrogen Dioksida (NO2), Sulfur Dioksida (SO2), Karbon Monoksida (CO) dan habuk halus bersaiz diameter 2.5 mikron (PM2.5) di beberapa stesen pengawasan kualiti udara di Lembah Klang iaitu di Batu Muda, Cheras dan Putrajaya bagi tempoh 1 Mac hingga 30 Mac 2020 juga menunjukkan bacaan pencemaran udara bagi ketiga-tiga kawasan tersebut telah berlaku penurunan yang signifikan.

Kehadiran Covid-19 ternyata mencetus kesedaran betapa manusia perlu menghargai kebebasan, kesihatan dan keindahan alam yang selama ini diberi secara percuma oleh Pencipta kepada hamba-Nya.

Selain penurunan kadar pencemaran udara, kadar jenayah juga diberitakan semakin menurun ekoran PKP.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ESSCom, Noor Alam Khan A. Wahid Khan, kadar jenayah di perairan pantai timur Sabah menurun sejak bermulanya PKP pada 18 Mac lepas.

Hasil pemantauan ketat yang dilakukan di perairan dan daratan memberi kesan besar kepada penurunan pelbagai jenayah termasuk jenayah berat.

Kehadiran Covid-19 ternyata mencetus kesedaran betapa manusia perlu menghargai kebebasan, kesihatan dan keindahan alam yang selama ini diberi secara percuma oleh Pencipta kepada hamba-Nya.

Sebagai manusia yang berakal, tempoh PKP ini hanyalah sedikit bayaran untuk meraih sebuah keinsafan dan kesedaran terhadap kebesaran Tuhan.

Gambar: Langit jernih biru di kawasan pinggir Putrajaya hari ini. (Foto Rozais Al-Anamy)

PKP hadiahkan langit biru kepada manusia

| Semasa |