PM Australia masak rendang guna lesung batu

OLEH ROKIAH ISMAIL (rokiah@tvalhijrah.com)

RENDANG kini bukan sekadar juadah istimewa yang hanya dimasak pada hari raya, tetapi menjadi menu harian dan terkenal pula di luar negara. Sesuatu yang tidak asing lagi apabila rendang dimasak dan digemari bangsa lain.

Sabtu lalu Perdana Menteri Australia, Scott Morrison berkongsi aktivitinya memasak rendang untuk hidangan keluarga di laman Facebook. Menariknya dalam gambar tersebut, terpapar lesung batu di atas meja sewaktu beliau sedang memotong daging.

Dalam hantaran tersebut, Morrison menyatakan beliau sudah lama tidak memasak kari untuk seluruh keluarga, dan kali ini beliau memilih untuk menyediakan rendang daging untuk santapan keluarga esok.

Morrison turut menyediakan pautan resipi rendang daging sebagai jawapan untuk netizen yang bertanya resipi masakan beliau. FOTO FB: SCOTT MORRISON

Ternyata Morrison bukanlah sekadar ‘berlakon’ memasak rendang kerana kenyataannya pernah memasak kari sebelum ini menunjukkan beliau memang biasa memasak untuk keluarganya.

Aksi santai Morrison itu mendapat 56 ribu tanda suka dan 11 ribu komen dari netizen setakat hari ini. Malah terdapat juga netizen yang meminta resipi masakannya.

Morrison membuktikan tanggungjawab memasak bukannya terletak pada bahu isteri semata-mata. Melakukan kerja-kerja rumah walaupun bergelar pemimpin negara adalah contoh yang pernah ditunjuk ajar Baginda Rasulullah s.a.w. sejak lebih seribu lima ratus tahun dahulu.

Gambar: Aksi Morrison sedang memotong daging untuk masakan rendangnya yang disiarkan di laman Facebook beliau pada 18 April lalu.

PM Australia masak rendang guna lesung batu

| Keluarga, Semasa |