Pokok keladi hiasan – indah dilihat tapi jaga-jaga dengan ‘cucukannya’, kanak-kanak mungkin alami keracunan

SEMENJAK beberapa bulan berkurung di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai yang mula minat berkebun dan akrab dengan pelbagai tanaman hiasan untuk mengisi masa lapang dan meredakan keresahan hati.

Sekurang-kurangnya kerisauan kepada ancaman Covid-19 sedikit terubat tatkala terpandang deretan pasu dipenuhi tanaman menyejuk pandangan.

Pokok jenis keladi antara tanaman yang menjadi pilihan kerana ia senang dijaga, mengakibatkan banyak nurseri kehabisan stok pokok jenis ini.

Namun perlu diingat bahaya yang mungkin timbul dari tanaman keladi ini, tidak kira apa jenisnya kerana ia mengandungi Kalsium Oxalate yang berbahaya khususnya untuk kanak-kanak.

Kanak-kanak perlu dididik dengan bahaya pokok keladi hiasan yang boleh menyebabkan keracunan. Foto Public Health Malaysia

Menurut Public Health Malaysia, bahan ini jika dilihat dibawah microskop kelihatan seperti jarum kristal yang tajam; apabila di sentuh atau dimakan akan mengakibatkan seseorang itu mengalami gejala seperti rasa tercucuk sesuatu.

Justeru itu adalah sangat penting memastikan anak anak diberitahu tentang bahaya pokok hiasan ini dan langkah-langkah kecemasan yang perlu diambil sekiranya tanpa sengaja mengalami keracunan akibatnya. Antaranya ialah:

– Jika tertelan, jangan paksa muntahkan

– Jika terkena kulit, basuh segera dengan air (jangan letak minyak atau ubat gigi)

– Jika terkena mata, basuh mata dengan air pili selama 15 minit, dan

– bawa pokok bersama ke jabatan kecemasan sewaktu mendapatkan rawatan.

Menikmati keindahannya tidak salah, tetapi menanamnya tanpa persediaan dan ilmu boleh memudaratkan.

Pokok keladi hiasan – indah dilihat tapi jaga-jaga dengan ‘cucukannya’, kanak-kanak mungkin alami keracunan

| Keluarga, Semasa |