Polis turut turun padang sertai perarakan bantahan keganasan terhadap George Floyd, gambar mereka berlutut sebelah kaki dapat perhatian dunia

PERARAKAN tunjuk perasaan membantah kematian George Floyd sudah masuk hari keenam. Laman media sosial dibanjiri gambar dan video seputar bantahan terhadap keganasan yang dilakukan terhadap Floyd.

Terkini, dalam kekalutan pihak polis mengawal orang ramai dengan baton, gas pemedih mata dan peluru getah bagi menghalang penunjuk perasaan,

gambar sebahagian daripada anggota polis dalam aksi berlutut sebelah kaki tersebar dan mendapat perhatian dunia.

Mereka turut menyertai protes untuk menunjukkan pendirian menentang keganasan anggota polis terlibat serta menunjukkan solidariti terhadap gerakan anti rasisme.

Kemanusiaan dan keadilan bagi mereka adalah hak semua orang tanpa mengira warna kulit; dan bagi mereka yang mendokong nilai ini akan terdetik rasa dan seterusnya secara spontan akan memberi reaksi terhadap sebarang pencemaran terhadap nilai yang semakin tercalar ini.

 “Kami mahu bersama-sama anda. Saya membuang helmet, meletakkan baton, saya mahu menjadikan ini perhimpunan bukan protes,” kata Sheriff Chris Swanson yang bercakap kepada peserta perhimpunan di Flint, Michigan dan kemudiannya menyertai perhimpunan itu.

Di New Jersey pula, pegawai polis di Camden, membantu membentangkan kain rentang bertulis ‘Standing in Solidarity’ kemudian bersama-sama orang ramai yang melaungkan ‘no justice, no peace’ (tidak ada keadilan tidak ada keamanan), lapor Forbes.

Pegawai polis di Camden, New Jersey turut menyatakan bantahan secara aman terhadap ketidakadilan yang berlaku kepada George Floyd. Mereka memegang kain pemidang bercetak “Standing in Solidarity” kemudian bersama-sama orang ramai yang melaungkan ‘no justice, no peace’ (tidak ada keadilan tidak ada keamanan). Foto Forbes

Manakala di Santa Cruz, California, Ketua Polis Andy Mills bersama-sama penunjuk perasaan berlutut bersama para penunjuk perasaan. Jabatan polis dalam laman Twitter menciap “In memory of George Floyd and bringing attention to police violence against Black people (Mengenang George Floyd dan menarik perhatian terhadap keganasan polis terhadap orang kulit hitam).

Dua pegawai polis di Kansas City, Misouri – seorang berkulit hitam dan seorang berkulit putih bergambar memegang plakad bertulis ‘End police brutality (Hentikan keganasan polis).

Di Fargo, North Dakota, seorang pegawai polis kelihatan bertepuk tangan dengan penganjur tunjuk perasaan sambil menjulang plakad bertulis, ‘We are one race… the human race’ (Kita semua satu bangsa, bangsa manusia).

Tunjuk perasaan tercetus sejak 25 Mei apabila video seorang penduduk kulit hitam Minneapolis, George Floyd ditekan di lehernya dengan lutut seorang polis kulit putih. Tiga pegawai polis lain yang berada menyatakan mereka mendengar rayuan Floyd menyatakan “Saya tidak boleh bernafas”.

Keempat-empat polis itu dikenakan tindakan dan salah seorang yang menekan lutut pada leher Floyd, Derek Chauvin didakwa membunuh.

Apa yang terjadi kepada Floyd membuktikan penyakit diskriminasi warna kulit masih belum sembuh di negara maju; suatu yang sangat bertentangan dengan slogan keamanan yang kononnya sentiasa dipertahankan.

Gambar: Pegawai polis berlutut sewaktu perhimpunan di Coral Gables, Florida sabtu lalu sebagai tanpa protes terhadap keganasan yang dilakukan ke atas George Floyd. (Forbes)

Polis turut turun padang sertai perarakan bantahan keganasan terhadap George Floyd, gambar mereka berlutut sebelah kaki dapat perhatian dunia

| Semasa |