Rakyat Palestin sedang dizalimi, bagaimana kita boleh membantu?

SERANGAN bertali arus oleh tentera penjajah Israel ke atas bumi Palestin Syawal kali ini telah meragut 197 nyawa termasuklah nyawa kanak-kanak yang tidak berdosa. Sebagai muslim, kita wajib memberikan sokongan kepada saudara kita yang dizalimi.

Ingatkah tindakan Rasulullah SAW membela nyawa seorang muslim yang dibunuh oleh Yahudi Bani Qainuqa’ kerana mempertahankan maruah seorang muslimah? Mendengar berita tersebut, Rasulullah segera mempersiapkan bala tentera Baginda bagi memberi pengajaran buat Yahudi bahawa nyawa dan maruah seorang muslim tidak semudahnya diperkotak-katikkan.

Sunnah Rasulullah SAW membela muslim ini diteruskan oleh para khalifah selepas Baginda. Imam Ibn al-Athir merekodkan kisah yang popular mengenai seorang muslimah yang menjadi tawanan ketika Zibatra (Sozopetra) ditawan oleh tentera Byzantine Rom.

Tawanan wanita ini telah dianiaya sehingga beliau menjerit: Wa Mu’tasamah! (Wahai Mu’tasim!) bagi meminta tolong dari Khalifah Abbasiyyah ketika itu. Rintihan wanita ini didengari oleh seorang muslim lalu beliau segera menyampaikan rintihan tersebut kepada Khalifah. Al-Mu’tasim mempersiapkan bala tenteranya bagi mempertahankan tanah muslim yang dicerobohi oleh tentera itu sehingga mereka menang.

Serangan penjajah Israel terhadap Palestin memakan bukan sedikit korban rakyat Palestin dalam kalangan orang awam yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak. Gambar: Sinar Harian

Al-Quran mendidik kita bagaimana persengketaan dengan musuh itu mestilah diiringi dengan kekuatan dan kelengkapan yang setara. Dalam Surah al-Taubah Allah berfirman: ”Dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya.” Barangkali yang dimaksudkan dengan perkataan “seluruhnya” di dalam ayat ini merangkumi persediaan kelengkapan senjata juga.

Dalam situasi hari ini, umat Islam dilihat masih ketinggalan dari aspek kemajuan teknologi pembuatan senjata. Barangkali, ini adalah masa yang terbaik untuk difikirkan oleh umat Islam dalam usaha mempertingkatkan teknologi persenjataan dan membangunkan sistem pertahanan serta kelengkapan senjata canggih setara dengan yang dimiliki oleh musuh Islam.

Begitu juga setiap kita berperanan dalam membantu saudara kita yang dizalimi. Rasulullah mengingatkan kita bahawa orang mukmin untuk umpama jasad yang satu. Andai satu anggota disakiti, keseluruhan mereka turut merasa sakit.

Kini rakyat Palestin sedang dizalimi, hati kita seharusnya turut merasa sengsara. Bantulah mereka dari segenap sudut yang kita termampu. Andai kita mampu menyumbang wang ringgit, maka jalankan tanggungjawab ini. Ini kerana kerosakan tempat tinggal yang dialami oleh mereka memerlukan dana yang besar dan segera untuk dibaik pulih.

Kini rakyat Palestin sedang dizalimi, hati kita seharusnya turut merasa sengsara. Bantulah mereka dari segenap sudut yang kita termampu. Andai kita mampu menyumbang wang ringgit, maka jalankan tanggungjawab ini. Ini kerana kerosakan tempat tinggal yang dialami oleh mereka memerlukan dana yang besar dan segera untuk dibaik pulih.

Bekalan makanan serta ubatan pula adalah satu kewajipan yang mesti dipenuhi. Sumbanglah kepada agensi yang diyakini agar jumlah tersebut sampai kepada saudara kita yang memerlukan.

Di samping itu kita juga digalakkan untuk menghidupkan kesedaran dalam jiwa masyarakat tentang apa yang berlaku ke atas saudara yang dizalimi. Sebarkan maklumat yang benar tentang mereka. Kesedaran jiwa adalah suatu perkata yang amat berharga dari jutaan ringgit.

Ini kerana, dengan kesedaranlah manusia akan mula bertindak untuk membantu dari segenap aspek yang berbeza. Hindari juga produk yang dihasilkan oleh pembunuh dan penzalim sebagai tanda protes kita terhadap kezaliman yang menimpa saudara kita.

Rasulullah mengingatkan kita bahawa: “Barangsiapa yang membantu (bersekongkol) dalam pembunuhan seorang muslim (walau) dengan separuh perkataan, nescaya dia akan bertemu dengan Allah pada hari kiamat dalam keadaan dituliskan di atas dahinya “Yang terputus dari rahmat Allah”. (Hadis riwayat Ahmad)

*Gambar: Salah sebuah lokasi yang dibedil Israel malam Isnin lalu. (Mahmud Hams/AFP)

*Dr Ahmad Sanusi Azmi adalah Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

PENAFIAN: Hbit.my tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Rakyat Palestin sedang dizalimi, bagaimana kita boleh membantu?

| Agama, Kolumnis, Semasa |