Ramadan umpama titisan air hujan, bukan semua hamba dapat rahmat-Nya

OLEH AHMAD SAFARMAN BIN DOLLAH

BULAN yang dirai, dirindui, dinanti kini datang kembali buat seluruh umat Islam di dunia. Bulan yang hebat, diberkati kerana nilai dan kebaikan satu malamnya adalah lebih baik daripada seribu bulan. Ia adalah bulan Ramadan yang bermaksud panas yang terik dan diharapkan dapat membakar segala kekotoran dosa orang yang berpuasa serta menghidupkan ibadah di sepanjang bulan ini.

Ramadan mampu mempengaruhi fenomena dunia. Dari sudut global ternyata Ramadan membuatkan insan yang berkiblatkan Kaabah dan menutur dua kalimah syahadah berebut-rebut mengejar ladang pahala. Bahkan para ulama menggambarkan Ramadan umpama titisan air hujan, tetapi bukan semua orang akan mendapat jumlah rahmat-Nya lantaran pengisian atas nama Islam berdasarkan jiwa dan hati yang bersih.

Maka sambutlah Ramadan ini dengan penuh kegembiraan lantas menganggap inilah Ramadan terakhir buat kita. Apatah lagi kehadirannya hari ini adalah dalam suasana norma baharu berikutan penularan pandemik Covid-19 yang membuatkan satu dunia keresahan.

Sudah terang lagi bersuluh. Dunia hari ini meniti debar menyambut bulan utama ini. Rasa insaf juga menyelubungi diri mengenangkan umat Islam di Syria dan Palestin yang menahan lapar akibat kekurangan makanan dan hidup bermandi darah.

Keadaan umat Islam di Syria dan Palestin bukan sahaja terpaksa menahan lapar akibat kekurangan makanan, bahkan hidup bermandi darah saban waktu. (Gambar hiasan: Sinar Harian)

Bahkan di negara yang terlibat dengan perang, berpuasa dalam keadaan nyawa di hujung tanduk. Tidak kurang pula negara miskin merasa Ramadan bak peribahasa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sebaknya mereka menggambarkan andainya ini adalah Ramadan terakhir.

Ungkapan Andai Ini Ramadan Terakhir memberi makna yang besar dalam hidup sesiapa sahaja termasuk diri ini dalam menggandakan dan meningkatkan takwa merebut pahala buat bekalan ke akhirat.

Kesan virus Covid-19 yang telah meragut banyak nyawa di seluruh dunia boleh menimbulkan satu perjuangan keinsafan dan kematian yang tidak berbelah bahagi. Bahkan di dalam surah al-Mulk, ayat 2 Allah mengingatkan; “Allah jadikan mati dan hidup kita untuk menguji siapa yang paling baik amalnya.”

Maka andainya ini Ramadan terakhir buat diri, daku ingin penuhi siang dengan amalan yang membersih hati. Datangkan dengan rasa gembira yang luar biasa supaya kehadiran sebulan bulan yang mulia itu diraikan dengan roh kecintaan yang tinggi dalam mengerjakan ibadah.

Maka andainya ini Ramadan terakhir buat diri, daku ingin penuhi siang dengan amalan yang membersih hati. Datangkan dengan rasa gembira yang luar biasa supaya kehadiran sebulan bulan yang mulia itu diraikan dengan roh kecintaan yang tinggi dalam mengerjakan ibadah.

Daku memohon kekuatan, rahmat, inayah dan taufiq daripada Ilahi. Ya Allah, seandainya ini Ramadan terakhir tatkala usia seakan-akan bernoktah di penghujung kehidupan duniawi maka daku harus merenung akan nasib diri bahawa diri ini tidak layak untuk ke SyurgaMu, namun tidak sesekali sanggup untuk ke nerakaMu.

Insafilah bahawa kita semua akan pergi. Daku akan persiapkanlah diri dengan berdoa, merayu dan menangis setiap kali dahi sujud memperhambakan diri. Tekadkan dalam diri bahawa, sesungguhnya solat, ibadah, hidup, dan matiku hanyalah kepada Allah Tuhan seru sekalian alam.

Selamat jalan bulan seribu pahala. Daku pasti merindui zakat fitrah, solat tarawih, lailatul qadar, nuzul al-Quran, tadarus, sedekah, qiamulail, tazkirah, dan iktikaf. Ya Allah terimalah segala amalan, ampunilah segala dosa, jadikan daku hambaMu yang bertaqwa.

Bau-bau wangian Ramadan sudah semakin memudar. Semoga tahun ini bukan Ramadan terakhir buatku. Bahkan menjadi bulan-bulan hijrah terindah dalam hidup ini. Daku insaf sebelum tenggelam rekahan bumi dan padamnya sinar cahaya bulan Ramadan.

Di waktu senja menanam sayur,

Pokok labu tanam sebatang;

Pohonkan doa panjatkan umur,

Moga ketemu Ramadan mendatang.

*Gambar hiasan

Penulis ialah Pemenang Hadiah Penghargaan Pertandingan Menulis Esei “Andai Ini Ramadan Terakhir” TV AlHijrah.

Ramadan umpama titisan air hujan, bukan semua hamba dapat rahmat-Nya

| Semasa, Tumpang Bahu |