Ramadhan bulan istimewa, madrasah hamba menilai diri

BULAN yang ditunggu-tunggu umat Islam seluruh dunia setiap tahun telah tiba hari ini. Kali ini sambutannya agak berbeza kerana ketibaannya pada waktu seluruh alam sedang berduka kerana masing-masing tidak dapat menyambutnya sebagaimana biasa.

Keterbatasan pergerakan ekoran arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 4 yang berakhir pada 12 Mei ini sedikit sebanyak memberi kesan pada kemeriahan sambutan Ramadhan tahun ini yang bermula lima hari sebelum tamatnya PKP.

Namun begitu, keistimewaan bulan mulia ini tetap kekal sebagaimana maksud hadith Rasulullah s.a.w.;

“Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadhan diikat semua syaitan dan jin-jin yang derhaka, ditutup semua pintu neraka dan tidak dibuka walau satu pintu, dan dibuka pintu-pintu syurga dan tidak ditutup walau satu pintu. Penyeru pun menyeru: “Wahai orang yang mengharapkan kebaikan! Terimalah. Wahai orang yang mengharapkan kejahatan! Berhentilah, dan (yang ikhlas) kerana Allah s.w.t. dibebaskan daripada api neraka dan (penyeru itu akan menyeru) pada setiap malam Ramadhan.”(Riwayat al-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Pada bulan mulia ini, Allah s.w.t. memberikan keistimewaan dengan membuka semua pintu syurga untuk menerima amalan-amalan soleh yang dilakukan oleh hamba-Nya, dan ditutup pula semua pintu neraka kerana maksiat akan berkurangan.

Syaitan-syaitan akan diikat, dengan maksud tiada lagi gangguan luaran yang boleh memberi kesan kepada keimanan seseorang. Justeru itulah bulan ini merupakan madrasah kepada umat Islam untuk mendidik diri, rohani dan jasmani serta bermuhasabah diri.

Pada keistimewaan ini jugalah hamba dapat menilai sendiri tahap hawa nafsunya, sama ada sememangnya ia patuh dengan ajaran agama atau sebaliknya. Ini kerana apa sahaja sifat yang ada itu hasil daripada dirinya sendiri, bukan lagi dipengaruhi syaitan atau orang lain.

Gambar: says.com

Ramadhan bulan istimewa, madrasah hamba menilai diri

| Agama |