October 12, 2024 2:35 PM
LOGO-HBIT

Rancangan tontonan tertinggi meningkat tiga kali ganda, TV AlHijrah sumber rujuk gaya hidup Islam

PENINGKATAN penonton adalah salah satu penunjuk kejayaan bagi sesebuah stesen televisyen. Rancangan pilihan penonton pula memainkan peranan penting dalam penjenamaan stesen dan juga rujukan pengiklan untuk mencapai golongan sasaran.

Bagi sebuah stesen berkonsepkan Islam, pertambahan penonton yang memilih rancangan berbentuk keagamaan dan kerohanian menandakan jumlah sasaran dakwah sudah semakin meluas. Ini satu petanda yang baik kepada usaha membentuk masyarakat yang berperadaban; sesuatu pencapaian yang patut dibanggakan.

Sebagai pemain industri penyiaran tanah air, TV AlHijrah istiqamah menghidangkan kepada masyarakat rancangan-rancangan berfaedah yang boleh menyuntik kesedaran tentang agama, nilai murni dan kemanusiaan.

Dengan matlamat menyediakan kandungan bermutu dan patuh syariah yang tidak mudah dibelokkan oleh keinginan untuk memburu penarafan dengan mengenepikan kualiti serta kesan baik kepada masyarakat, TV AlHijrah semakin mendapat tempat di hati penonton.

Data bersumberkan Nielsen Media Research mendedahkan peningkatan tiga kali ganda rancangan yang mendapat capaian penonton tertinggi pada tahun 2023 berbanding tahun sebelumnya menambah keyakinan untuk stesen ini terus mengekalkan visi dan misinya.

Antara rancangan-rancangan yang akan bersiaran di TV AlHijrah untuk tahun 2024.

Naik empat anak tangga daripada tahun sebelumnya, banyak rancangan yang menyumbang kepada kemajuan TV AlHijrah berbentuk keagamaan dan kemanusiaan. Sokongan penonton terhadap stesen yang menyediakan program-program dakwah sangat membanggakan, sekaligus membuktikan masih ramai penonton yang bijak memilih bahan tontonan.

Rancangan seperti Tawajuh, Panggilan Agung Maghrib, Bacaan Surah dan Doa serta  rancangan Siaran Ulangan Quran@114 pada jam 5 pagi membolehkan syer TV AlHijrah meningkat 45 peratus berbanding tahun 2022 di mana syer mingguan tertinggi pada tahun 2023 adalah pada minggu kedua kempen #PalestinKembali dijalankankan.

Isu-isu dunia Islam yang sering menjadi keutamaan stesen ini memberi keyakinan kepada penonton untuk menjadikannya sumber rujuk bagi berita dan perkembangan semasa antarabangsa yang berwibawa.

Agihan slot yang mengambil kira semua sudut kehidupan seperti kesesuaian beribadah dan gaya hidup Islam juga menjadi penyumbang kepada kemajuan penarafan TV AlHijrah yang meningkat 36 peratus pada tahun lepas berbanding tahun 2022.

Menyediakan kandungan berbentuk kapsul Panggilan Agung dalam slot Deen, penonton bertumpu kepada stesen ini untuk mengisi waktu menjelang maghrib. Ia amat selari dengan ajaran agama yang menggesa pengisian masa bermanfaat pada masa peralihan waktu siang ke malam; di mana dalam kalendar Islam, pertukaran hari baharu itu bermula waktu maghrib.

Selain itu, percaturan rancangan berdasarkan kesesuaian waktu juga turut mengekalkan TV AlHijrah sebagai saluran televisyen Islamik nombor satu negara di mana prestasi pada tahun ini mencatatkan tontonan paling tinggi sejak bersiaran 13 tahun lalu.

Menghantar pergi matahari pulang dan mengisi ruang hari baharu dengan ilmu dan ayat Al-Quran amatlah bertepatan dengan gaya hidup Muslim. Aturan hidup yang diacuankan oleh rancangan yang diwakilkan ini, selain sebagai amanah dakwah untuk masyarakat, adalah juga sebagai kompas kepada penonton menjadikan agama sebagai satu cara hidup agar dapat meraih kebahagian dunia dan Akhirat. Itulah tugas utama stesen berkonsepkan Islam ini.