Rasulullah SAW tidak pernah pilih kasih dalam penguatkuasaan dan hukuman

KISAH kompaun pelajar matrikulasi Perak dan penjual colek depan rumah banyak meraih simpati warga Malaysia. Ramai yang mula mempersoalkan tentang rasional hukuman tersebut, membandingkannya dengan sikap penguatkuasa terhadap golongan “kayangan” yang dianggap sebagai tidak adil.

Apakah wajar kompaun ribuan ringgit ini dikenakan kepada pelajar yang masih boleh diberikan ruang nasihat dan didikan? Tindakan dan penghukuman yang dilaksanakan bukan sahaja perlu bersifat adil malah ia mesti dilihat adil.

Dalam urusan penguatkuasaan undang-undang, Rasulullah amat menekankan tentang kepentingan berlaku adil. Pernah terjadi pada zaman Rasulullah, seorang wanita daripada Bani Makhzum telah  melakukan kesalahan mencuri.

Bani Makhzum adalah antara kabilah yang mempunyai kedudukan dan pengaruh di sisi Quraish, maka tiada siapa yang berani memaklumkan perkara ini kepada Rasulullah. Sebaliknya mereka menggunakan pendekatan memujuk dan berdiplomasi dengan Baginda Nabi agar melepaskan pihak yang melakukan kesalahan ini.

Reaksi Rasulullah sangat teguh. Baginda sangat murka dengan sikap tidak adil sebegini lantas menegaskan: “Apakah kamu meminta syafaat (supaya dilindungi mereka yang melakukan kesalahan) berkenaan hukuman hudud ini? Sesungguhnya telah binasa umat sebelum kamu kerana apabila yang mencuri itu orang berpengaruh, kamu bebaskan. Dan apabila yang mencuri itu orang yang lemah (orang biasa) maka kamu kenakan hukuman hudud terhadap mereka.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Dari aspek penguatkuasaan Rasulullah tidak pernah bersikap pilih kasih. Baginda meneruskan penguatkuasaan undang-undang dan hukuman ke atas mereka yang melakukan kesalahan tanpa mengira pangkat dan kedudukan mereka.

Dari aspek penguatkuasaan Rasulullah tidak pernah bersikap pilih kasih. Baginda meneruskan penguatkuasaan undang-undang dan hukuman ke atas mereka yang melakukan kesalahan tanpa mengira pangkat dan kedudukan mereka.

Rasulullah juga lebih banyak memberikan nasihat dan bimbingan dahulu sebelum hukuman dikenakan agar mereka menyedari keburukan sesuatu kesalahan. Ini seakan-akan menunjukkan bahawa hukuman yang dilaksanakan pada hakikatnya adalah langkah terakhir bagi mencegah manusia daripada melakukan kesalahan setelah proses bimbingan dilakukan.

Dialog Rasulullah dengan seorang pemuda yang ingin melakukan zina juga memperlihatkan Baginda tidak cepat menghukum tetapi memberikan bimbingan melalui analogi yang membuka fikiran anak muda tersebut tentang bahaya zina.

Sabda Rasulullah: Pertanyaan “Apakah kamu suka andai zina ini lakukan kepada ibumu?” cukup menyedarkan pemuda itu tentang kejijikan jenayah zina. Ternyata Rasulullah melakukan bimbingan sebelum sesuatu kesalahan itu berlaku.

Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah melakukan bimbingan setelah sesuatu kesalahan itu berlaku. Ini dapat dilihat dalam hadis Ma’iz bin Malik dan Hatib bin Abi Balta’ah. Ma’iz telah melakukan kesalahan zina lalu Rasulullah menasihatinya agar kembali bertaubat kerana ruang keampunan di sisi Allah lebih luas sekiranya beliau kembali bertaubat.

Gambar tular yang dikongsi di media sosial menyatakan pegawai KKM yang masuk ke dalam kolej untuk membuat pemeriksaan dan mengenakan kompaun kepada pelajar. (Gambar: Sinar Harian)

Manakalah kisah Hatib bin Abi Balta’ah pula menampilkan reaksi Rasulullah dalam menghadapi kesalahan besar orang bawahan yang membocorkan rahsia ketenteraan Rasulullah sebelum berlakunya penghantaran tentera bagi pembukaan Kota Mekah.

Baginda tidak terburu-buru dalam menghukum, sebaliknya menjalankan soal siasat dan mencari penyelesaian dalam menangani isu tersebut dan akhirnya  memaafkan Hatib yang memberikan alasan mengapa beliau mendedahkan perancangan itu.

Justeru itu penguatkuasa seharusnya menilai konteks dan melihat latar belakang seseorang sebelum mengenakan sebarang hukuman. Barangkali seseorang itu terdesak untuk mencari rezeki dalam musim pandemik ini sehingga beliau tidak sengaja melakukan kesalahan dalam melanggar SOP.

Pendapat Imam Ahmad bahawa seseorang yang mencuri itu tidak sewenangnya boleh dipotong tangannya andai dia adalah seorang yang benar-benar lapar dan memerlukan wajarlah difikirkan.

Dalam musim penyebaran wabak penyakit ini, ramai dalam kalangan rakyat yang terjejas punca pendapatan. Masing-masing berada dalam keadaan yang sempit dan memerlukan bantuan. Oleh itu setiap muslim haruslah berwaspada dan berhati-hati dalam memberikan penilaian atau tindakan. Dibimbangi tindakan kita lebih menzalimi sesuatu pihak daripada menyelesaikan masalah kesempitan yang sedia ada.

Gambar: Peniaga colek, Mohd Azizi Mohd Nor dikompaun RM50,000 kerana didakwa berniaga melebihi masa ditetapkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Ahad lalu di Kampung Chekok Tengah, Pengkalan Chepa. (Sinar Harian)

*Dr Ahmad Sanusi Azmi adalah Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

PENAFIAN: Hbit.my tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Rasulullah SAW tidak pernah pilih kasih dalam penguatkuasaan dan hukuman

| Kolumnis, Semasa |