Rebut peluang beribadat sebulan Ramadan, andai ia terakhir terima ia tanpa penyesalan

OLEH RAZINAH ZAIDI

MASA berlalu pantas. Ramadan kian menjelma menandakan umat Islam bakal berpuasa dalam masa terdekat. Maklumlah bulan mulia, bulan yang penuh berkat. Bulan di mana semua umat Islam berlumba-lumba melakukan ibadah.

Sama seperti aku, merindukan kehadiran Ramadan al-mubarak. Ahlan wa sahlan ya Ramadan. Berdebar debar menantikan kehadiran Ramadan. Bimbang jika ini Ramadan terakhirku. Bimbang juga jika tidak sempat untuk menyambutnya. Allahuakbar! Semoga Allah sampaikan kita semua kepadanya, Insha Allah.

Sebut sahaja Ramadan, pasti kita membayangkan bazar Ramadan yang menjual segala jenis kuih muih, lauk-pauk yang menyelerakan serta air beraneka warna. Bukan itu sahaja, pasti juga kita tidak sabar untuk menunaikan ibadah terawih di masjd-masjid berdekatan serta mengikuti majlis tadarus Al-Quran.

Dalam kegembiraan menyambut Ramadan, pernahkah terdetik di hati adakah ini Ramadan terakhir kita? (Gambar hiasan: Islampos.com)

Tetapi dalam kegembiraan menyambut Ramadan, pernahkah terdetik di hati jika ini adalah Ramadan terakhir kita? Di dalam kesibukan menyediakan juadah untuk berbuka, adakah kita pernah terfikir bahawa ini adalah juadah terakhir yang kita sediakan untuk ahli keluarga? Adakah puasa kita pada hari ini adalah yang terakhir? Adakah solat terawih kita semalam adalah yang terakhir? Wallahu’alam. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala yang tersembunyi mahupun yang zahir.

Seandainya kita mengetahui kali ini adalah Ramadan terakhir kita, pasti kita semua bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah. Berlumba-lumba melakukan sedekah, bersengkang mata untuk menunaikan qiyamullail dan solat pada awal waktu. Al-Quran pasti sentiasa menjadi peneman setiap kali selepas solat ditunaikan. Zikir tidak lekang dari bibir menyebut nama Allah. Pasti keampunan yang kita pohonkan setiap kali selepas solat.

Tapi itu semua andaian. Hakikatnya, kita masih leka. Masih sambil lewa. Kita masih lagi duduk dan meluangkan banyak masa melayari media sosial dari banyak meluangkan masa beribadah. Masih lagi risau dengan dunia. Masih lagi memikirkan esok nak sahur dengan apa, berbuka makan apa.

Kita yakin umur kita masih panjang, kerana kita masih muda, kita masih sihat; mustahil akan meninggal seawal itu. Tetapi, siapa kita untuk menentukan tarikh kematian diri sendiri?

Tidak pernah terfikir pun mungkin hari ini adalah puasa terakhir kita. Kita yakin umur kita masih panjang, kerana kita masih muda, kita masih sihat; mustahil akan meninggal seawal itu. Tetapi, siapa kita untuk menentukan tarikh kematian diri sendiri? Tepuk dada tanya iman.

Tunaikanlah ibadah dengan bersungguh-sungguh. Pohonlah keampunan kepada Allah SWT dengan rasa penuh keinsafan dan penyesalan. Isilah Ramadan ini dengan amal ibadah. Jangan biarkan Ramadan ini menjadi Ramadan yang terakhir dengan sia sia, sebaliknya jadikanlah ia Ramadan terakhir ini dengan amal ibadah yang diterima Allah SWT.

Semoga kita semua sentiasa dalam lindungan rahmat Allah SWT. Semoga Allah SWT menerima segala amal ibadah yang kita lakukan. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

*Gambar hiasan (jejakakaula.blogspot.com)

Penulis ialah Pemenang Hadiah Penghargaan Pertandingan Menulis Esei “Andai Ini Ramadan Terakhir” TV AlHijrah.

Rebut peluang beribadat sebulan Ramadan, andai ia terakhir terima ia tanpa penyesalan

| Semasa, Tumpang Bahu |