Reka topeng muka sendiri untuk lindung diri dari Covid-19

OLEH IZZAT SYAMIR ISMAIL
(izzat.syamir@tvalhijrah.com)

PEMAKAIAN topeng muka pada ketika ini sangat diperlukan dalam mengurangkan risiko jangkitan wabak Covid-19. Sebelum negara dilanda penularan wabak maut ini, harga sekeping topeng muka hanyalah sekitar RM2.

Namun, peningkatan serangan wabak ini telah mengakibatkan permintaan terhadap topeng muka menjadi tinggi dan sering kehabisan bekalan.  Masyarakat mula bimbang dengan kenaikan harga topeng tersebut di pasaran .

Sedar akan permasalahan ini, Datuk Seri Ismail Sabri menerusi perbincangan awal bersama KPDNHEP segera menetapkan harga siling bagi setiap keping topeng muka pada harga RM1.50 sahaja.

Para peniaga dilarang sama sekali menaikkan harga topeng muka kecuali cecair pembasmi kuman yang mempunyai pelbagai jenama tersendiri.

Seorang lelaki memakai topeng yang ditampal dengan ‘panty liner’ agar boleh digunakan banyak kali (Foto: Ahmad Iskandar Shaqiri)

Peningkatan jumlah kes positif serta kematian dalam negara meningkatkan lagi kesedaran masyarakat dalam memastikan kesihatan mereka terjamin. Kekurangan bekalan topeng muka menjadikan masyarakat melakukan pelbagai cara dan improvisasi dalam penghasilan topeng muka ini.

Pelbagai Ragam dan gaya masyarakat boleh dilihat ketika ini, daripada menggunakan potongan bahagian botol plastik hinggalah span bahu semata-mata menghindarkan diri daripada jangkitan wabak ini.

Semestinya kesihatan diri adalah yang paling utama jika dibandingkan dengan wang ringgit dalam menghadapi krisis yang semakin memuncak ini.

Masalah kekurangan bekalan topeng muka yang adakalanya terpaksa ditempah terlebih dahulu menjadikan rakyat malaysia lebih peka dalam mengawal perbelanjaan, secara tidak langsung memupuk sikap berjimat cermat.

Gambar: Pihak Alam Flora memakai topeng muka sebelum melakukan proses nyah cemar di pasar awam Jalan Othman. (Foto: Ahmad Iskandar Shaqiri)

Reka topeng muka sendiri untuk lindung diri dari Covid-19

| Semasa |