Remaja OKU pendengaran hilang nikmat komunikasi sejak setahun lalu kerana keluarga tidak mampu baiki alat bantuan rosak, ayah risau masa depan anak

AHMAD SUFI Zakaria, 41, yang menjadi tempat isteri dan enam anaknya bergantung, hanya bekerja sendiri dengan pendapatan yang tidak menentu. Tambah meresahkan, apabila anak sulungnya yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran, kini berdepan masalah berikutan alat bantuan pendengarannya rosak sejak setahun lalu.

Alat itu masih tidak dapat diganti berikutan Ahmad Sufi menghadapi masalah kewangan untuk membaikinya. Namun, selepas diserang strok akibat penyakit diabetes dan darah tinggi yang dihadapinya selepas sambutan Aidiladha tahun lalu, usaha Ahmad Sufi mencari rezeki kini terbatas.

Sebagai ketua keluarga, Ahmad Sufi tidak mengenal erti putus asa, malah tidak malu berusaha dengan bertanyakan rakan-rakan sekiranya ada pekerjaan demi mencari sesuap nasi. Dia sedaya upaya mengerah tulang empat kerat selagi terdaya kerana tidak mahu meminta-minta walaupun ada masanya berdepan masalah kewangan.

Meraih pendapatan purata RM50 sehari atau antara RM1,500 sehingga RM2,000 sebulan, ia hanya cukup untuk memenuhi perbelanjaan harian keluarga memandangkan semua enam anaknya masih bersekolah.

Boboy menunjukkan kad OKU yang dimiliknya.

Walaupun menerima bantuan zakat sebanyak RM500 sebulan, ia masih tidak mencukupi memandangkan kos sara hidup dan perbelanjaan persekolahan yang tinggi. Disebabkan itu, mereka tidak mampu membayar bil elektrik dengan jumlah tunggakan lebih RM1,500 sejak Mac lalu.

Ia menyebabkan Ahmad Sufi tidak mampu membaiki alat bantuan pendengaran anaknya sulungnya, Ahmad Ikmal Daniel yang rosak ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu. Sudah lebih setahun remaja berusia 19 tahun itu tidak menggunakan sebarang alat bantuan pendengaran.

Remaja ini memerlukan alat bantuan pendengaran untuk kedua-dua telinga, tetapi harganya terlalu mahal sehingga mencecah RM7,000 bagi model yang sederhana kualitinya, sementara kos untuk membaik pulih juga tinggi dan boleh mencecah ratusan ringgit untuk menggantikan komponen kecil.

Disebabkan harga yang mahal, Ahmad Sufi dan isterinya, Shahrizah Junus, 43, tidak mampu untuk menggantikan alat terbabit memandangkan anak memerlukan bantuan alat pendengaran untuk kedua-dua telinganya.

Untuk menderma sila layari https://ybim.org.my/suaraasnaf/ dan tekan Asnaf 36 atau  terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Gambar: Boboy berkomunikasi dengan bahasa isyarat dengan ahli keluarganya ketika kunjungan Suara Asnaf di kediaman mereka di Taman Desa Kiambang, Serendah, baru-baru ini.

Remaja OKU pendengaran hilang nikmat komunikasi sejak setahun lalu kerana keluarga tidak mampu baiki alat bantuan rosak, ayah risau masa depan anak

| Advertorial, Semasa |