Riwayat Akhir Zaman Musim 7 dedah kisah tangan tersembunyi di balik penunggang agama

UMAT Islam pada akhir zaman ibarat buih, ramai jumlahnya namun iman yang berbaki di dada sekelumit cuma. Normalisasi maksiat tanpa sedetik pun rasa bersalah, hilangnya rasa malu dan pelbagai kemungkaran yang menjadi rutin kehidupan menjadi fenomena umat zaman ini.

Ada umat yang sememangnya gemar maksiat, berterusan malah bangga pula melakukanya. Namun ada juga yang pada mulanya menyedari mereka berada dalam maksiat, akhirnya terjebak sama kerana persekitaran yang telah rosak.

Ibarat ingatan Allah kepada hamba; paginya Islam dan petangnya kafir. Bersilih ganti imannya, hati yang berbolak-balik menguasai diri. Agama menjadi dagangan yang menarik lambakan harta dan kekuasan bagi mereka yang lupa adanya Hari Pembalasan.

Justeru itulah ilmu tentang fitnah akhir zaman sangat penting untuk didalami sebagai benteng diri dari hanyut dalam fitnah yang amat dirisaukan oleh Baginda Rasulullah SAW terhadap umatnya. Fitnah akhir zaman bukan perkara kecil, kerana setebal mana pun iman mungkin terhakis jika cara menghadapi huru-hara akhir zaman ini tidak sebati dalam diri.

Riwayat Akhir Zaman (RAZ) yang diteruskan lagi siarannya di TV AlHijrah dan telah memasuki musim ketujuh bermula Jumaat ini adalah satu usaha stesen ini secara istiqamah membangkitkan umat Islam untuk menjadikan Al-Quran dan pesan Nabi dalam mendepani dunia yang semakin renta.

Ustaz Jafri (empat di kanan) memegang watak utama dalam drama serta pentausiyah dalam Riwayat Akhir Zaman Musim 7 bersama Namanzee Harris, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah (pertama di kanan) serta krew penerbitan semasa sesi pratonton rancangan tersebut di TV AlHijrah.

Berbeza dengan episod-episod dalam musim satu hingga musim lima yang berkonsepkan ceramah oleh Ustaz Jafri Abu Bakar Al Mahmoodi atau Ustaz Wadi Anuar di dalam studio, musim ketujuh menitip mesej melalui drama yang dilakukan penggambaran di luar studio sebagai penggerak penyampaian kisah akhir zaman.

70 peratus daripada keseluruhan episod dalam musim ini menggunakan drama yang disulami tausiyah dalam suasana yang lebih santai berbanding musim enam yang menggabungkan drama dan semi bual bicara.

Drama dalam RAZ ini memaparkan mesej dari kisah keangkuhan manusia serta kesilapan-kesilapan yang lazim dilakukan akibat alpa dan tidak kembali pada agama dalam menjalani kehidupan. 13 hadis tentang akhir zaman yang terkait dengan perkara yang berlaku disuntik untuk menyedarkan perbuatan tersebut hakikatnya telah pun diceritakan dalam wahyu dan panduan Ilahi selama lebih seribu tahun dahulu.

Drama digerakkan oleh watak Adli yang terlalu mengagungkan keinginan dan nafsu dunianya sehingga bergelumang dosa. Ustaz Jafri yang semakin masyhur sebagai seorang penceramah yang digemari ramai telah cuba dianiaya Adli dengan cara mempengaruhi ustaz agar mengikut segala perancangannya.

Adli menghasut Ustaz Jafri supaya mengaut keuntungan berpuluh kali ganda dengan hanya memberi ceramah di merata tempat. Namun Ustaz Jafri yang tetap teguh imannya cuba menyedarkan Adli. Akhirnya segala terungkai bila sebenarnya Adli hanyalah boneka yang talinya dipegang musuh lama Atoi, Haris.

Banyak lagi kisah yang terakam dalam musim ini yang pada akhirnya akan membawa penonton memahami empat perkara penting yang perlu difikirkan iaitu kedudukan umat Islam pada hari ini yang hanya wujud berdasarkan namanya sahaja, perselisihan para ulamak yang banyak merugikan umat Islam, keperluan kembali kepada rujukan Al-Quran dan Hadis serta memahaminya dengan mendalam dan keempat, perlunya sentiasa melakukan ‘tabayyun’ terhadap sesuatu berita yang diterima dan mementingkan adab dalam setiap perkara.

Ustaz Jafri memegang dua peranan sebagai pelakon drama dan pentausiyah di samping pelakon lain seperti Abi Madyan, Shah Kimin, Erryne Eryyna, Yatno, Safuan Rashid dan Megat Shahrizal.

Semua pengajaran dan panduan yang diadun rapi secara dramatik dalam Riwayat Akhir Zaman Musim 7 dapat ditonton setiap Jumaat, pukul 7.30 malam bermula 5 Januari.

Menepati penerbitan berkonsepkan patuh syariah, penonton tentu dapat mengagak apa pengakhiran kisah kehidupan Haris yang berwatak antagonis; namun bagaimanakah bentuk pengakhirannya?

Gambar: Penggambaran salah satu adegan dalam Riwayat Akhir Zaman Musim 7.

(338)

Riwayat Akhir Zaman Musim 7 dedah kisah tangan tersembunyi di balik penunggang agama

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>