Ruang khas solat, ketaatan pemandu e-hailing undang rasa terharu Pengarah Jawi

TIADA alasan untuk tidak solat, dalam apa jua keadaan dan di mana-mana pun berada. Itulah yang diceritakan gambar dari laman Facebook Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) ini.

Pemandu penghantaran tetap tidak lupa tanggungjawab kepada Penciptanya, walaupun mungkin dalam hari-hari yang dilalui amat sukar dan memenatkan. Selagi ada ruang dan peluang, di situ mereka menyembah Tuhan.

Syukur sebagai umat Islam, urusan pelaksanaan ibadat dimudahkan dan kerana sifat Islam itu memudahkan dan tidak menyusah serta memberatkan penganutnya.

Seorang penghantar makanan menunaikan solat di ruang lapang sewaktu dalam tugas.

Namun istilah mudah itu bukan bermaksud seseorang muslim boleh mengambil ringan terhadap sesuatu ibadah, apatah lagi jika ibadat itu tiang agama seperti solat.

Memberi reaksi terhadap gambar yang menyentuh kalbu ini, Pengarah Jawi, Haji Mohd Ajib bin Ismail berkata, “Alhamdulillah syukur. Semoga rezeki abang-abang Grab Food, Food Panda dan semua penghantar makanan serta semua yang mencari rezeki dipermudahkan Allah SWT. Mereka tetap menunaikan solat walaupun sibuk berkerja mencari rezeki.

Tanggungjawab kepada agama tidak harus dilupakan dalam urusan mencari habuan dunia.

Menurut beliau lagi, peranan masjid dan surau ialah menyediakan ruangan khas solat bagi pemandu e-hailing, penghantar makanan, musafir, pemandu teksi dan seumpamanya agar mereka mempunyai ruang beribadah.

Saranan ini sangat bertepatan dengan ajaran agama yang meminta kita sentiasa mendekatkan diri pada Allah setiap waktu, lebih-lebih lagi dalam kekusutan menghadapi musibah pandemik Covid-19 yang banyak merentap sumber rezeki kita.

Semoga rezeki abang-abang penghantar makanan ini semakin berlipat ganda dan berkat serta dipermudahkan urusannnya.  

Gambar: Surau dan masjid disaran sediakan ruang solat untuk pemandu ehailing dan seumpamanya.

Ruang khas solat, ketaatan pemandu e-hailing undang rasa terharu Pengarah Jawi

| Semasa |