Rukyah Syawal 1441 – Wajah siapakah yang terpapar di dada alam?

‪PETANG ini pihak terlibat akan mencerap anak bulan Syawal di 15 lokasi terpilih di seluruh negara. Di Putrajaya dan kawasan sekitarnya awan mula kelabu bermula awal petang, kemudian diikuti hujan renyai membasahi alam.

Pada perkiraan mata kasar dan logik akal orang awam, sudah pasti hilal sukar dikesan dalam suasana alam basah seperti ini.  

Kenampakan anak bulan adalah asas bagi menentukan permulaan bulan baharu dalam sistem kalendar Hijrah. Malaysia dan sebahagian negara ASEAN menetapkan permulaan tarikh tersebut dengan menggabungkan kedua-dua kaedah hisab (hitungan) dan rukyah (cerapan).

Sekiranya anak bulan tidak kelihatan disebabkan faktor cuaca atau sebagainya maka penentuan ditetapkan dengan kaedah hisab.

Esok atau lusa kita beraya, mungkin ramai yang tidak ambil kisah sangat. Sewaktu kerja-kerja cerapan dilakukan nanti, kebanyakan mereka akan memandang langit kelam sambil membayangkan wajah insan tersayang yang jauh di mata.

Kenampakan anak bulan adalah asas bagi menentukan permulaan bulan baharu dalam sistem kalendar Hijrah. FOTO SINAR HARIAN

Lebaran tahun ini bakal disambut dalam suasana unik, di luar kebiasaan agama dan budaya masyarakat kita selama ini. Seumur hidup seseorang mungkin kali inilah mereka terpaksa beraya dengan penuh kejanggalan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah awal-awal lagi berpesan supaya masyarakat mematuhi peraturan dan undang-undang sewaktu PKPB dalam berhari raya.

Dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), beliau berkata walaupun kerajaan membenarkan ziarah pada hari pertama raya, masyarakat hendaklah mematuhi SOP iaitu penjarakan sosial dan mengelak bersalaman atau bersentuhan. Perayaan diadakan tertutup antara ahli keluarga di rumah sahaja.

Memandangkan hari rukyah jatuhnya pada hari Jumaat, di mana sudah 10 kali umat Islam meninggalkan solat Jumaat, tentu suasana muram hari ini menambah lagi sayu dan pilu di hati.

Kita banyak kehilangan sesuatu yang berharga dalam tempoh ini. Suasana berpuasa – bertarawih secara berjemaah di surau dan masjid, berkunjung-kunjungan bertukar juadah setiap petang puasa, sehinggalah fenomena pulang beramai-ramai ke kampung dirampas dalam masa sekelip mata daripada kita.

Dalam hujan yang semakin melebat petang ini, apa lagi yang terbayang di fikiran kita – selain wajah ayah bonda yang merindui namun redha dengan takdir-Nya!

* Gambar sekadar hiasan

Rukyah Syawal 1441 – Wajah siapakah yang terpapar di dada alam?

| Semasa |