Selalu cuti jaga isteri sakit, suami diberhentikan kerja, nasi kosong dan telur goreng lauk ‘mewah’ mereka enam beranak

KEHIDUPAN Halpira Muhamad Yusup, 36, sememangnya terhimpit.  Menderita penyakit radang sendi akibat kemalangan motosikal lima tahun lalu, menyebabkan wanita tabah ini sudah tidak boleh melakukan kerja berat termasuk menjahit pakaian.

Kemalangan langgar lari yang menimpa pada tahun 2016 menjadi titik hitam sehingga mengubah hidup keluarganya. Suaminya, Khairul Nizam Abdul Hanif, 32, yang sebelum ini mempunyai pekerjaan tetap sebagai pekerja am di sebuah syarikat pembersihan di sini, diberhentikan kerja atas alasan tidak dapat memberikan komitmen kerana terlalu banyak mengambil cuti berikutan perlu menjaga Halpira yang cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Disebabkan Khairul Nizam tidak boleh membaca dan menulis, kini untuk menampung kehidupan mereka enam beranak, beliau hanya mengambil upah melakukan kerja-kerja seperti memotong rumput, mengecat dan pelbagai kerja kampung. Manakala Halpira terpaksa menggagahkan diri mengambil upah mengubah suai pakaian dengan upah RM5 untuk sehelai baju.

Dengan pendapatan yang tidak seberapa, ada ketikanya Halpira dan keluarganya terpaksa meneruskan kehidupan dengan hanya berbekalkan RM200 sahaja. Dengan wang yang tidak seberapa itu, bukan saja tidak mampu membeli susu anak, malah dia juga terpaksa mencatu lauk-pauk harian.

Halpira menjahit baju tidur kanak-kanak dengan menggunakan lebihan ‘shawl’ terpakai dan melakukan ‘alteration’ pakaian untuk menyara keluarganya.

Mereka enam beranak hanya makan apa yang ada asalkan perut tidak ‘menjerit’ kelaparan. Walaupun hanya dapat menyediakan hanya nasi kosong dan telur goreng untuk anak-anaknya, Halpira sudah cukup bersyukur dan menganggap ia sudah cukup ‘mewah’ kerana di luar sana ada insan yang terpaksa berlapar kerana tidak mampu membeli makanan.

Walaupun menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM1,100 setiap bulan, namun ia hanya cukup untuk membayar bil air, elektrik dan hal sekolah anak-anaknya termasuk internet dan kelas tambahan.

Halpira bagaimanapun bersyukur walaupun hidup keluarganya susah dan disenaraikan sebagai asnaf, namun mereka sekeluarga tidak perlu menumpang atau menyewa rumah. Pampasan yang diterima akibat kemalangan jalan raya dulu membolehkannya membeli rumah mampu milik.

Namun, dia tidak mampu untuk membetulkan atap (zink) yang bocor sehingga memaksa anak-anaknya beralih tempat tidur sekiranya hari hujan  memandangkan ia menelan belanja  antara RM4,000 hingga RM5,000.

Untuk menderma sila layari ybim.org.my/suaraasnaf dan tekan Asnaf 56 atau  terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Gambar: Halpira bersama Khairul Nizam dan empat anak mereka ketika kunjungan Suara Asnaf di Taman Dusun Nyiur, Seremban, baru-baru ini.

(14)

Selalu cuti jaga isteri sakit, suami diberhentikan kerja, nasi kosong dan telur goreng lauk ‘mewah’ mereka enam beranak

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>