Selendang hitam, sebuah kehidupan

MENGAMBIL iktibar dari keadaan orang yang lebih malang akan menyebabkan seseorang akan berasa dirinya lebih bernasib baik, seterusnya menambah rasa syukur dan tenang ketika berdepan sesuatu ujian hidup.

Perasaan itulah dialami Izzat (bukan nama sebenar) sewaktu menyaksikan seorang wanita sedang melayan anaknya di sebuah hospital. Beban yang terpikul atas bahunya terasa ringan serta-merta tatkala melihat cara wanita itu melayan anaknya.

Izzat sedang mengendong anaknya yang sedang sakit untuk ke kaunter pendaftaran dan menguruskan kemasukan anaknya ke wad kerana diserang demam panas. Dalam keadaan tidak cukup tidur kerana beberapa hari terpaksa berjaga malam memantau kesihatan anaknya, ligat dalam kepala pula memikirkan tugasan di pejabat yang terpaksa dipenuhi.

Mahu ambil cuti kecemasan pula, dia terpaksa memikirkan masa depan kerjayanya. Pada masa yang sama, kewangan pula sangat menekan hidup mereka sekeluarga. Naik buntu memikirkan penyelesaian menghadapi minggu yang disergah musibah itu.

Riak wajah wanita yang bertugas sebagai pengawal keselamatan itu menukarkan keresahan hati Izzat kepada sebuah rasa sayu dan pilu. Anak wanita itu yang berusia lebih kurang empat tahun sedang merengek mahu tidur kepada ibunya.

Izzat sempat mendengar sepintas lalu jawapan ibu tersebut, meminta anaknya tidur di riba. Dia sendiri sedang bertugas di sebuah meja kecil dan duduk di sebuah kerusi plastik. Anak yang kuyu matanya terus naik ke riba dan melingkar di ribaan wanita itu.

Wanita itu pula cepat-cepat menyelimuti anaknya dengan sehelai selendang hitam, hampir-hampir menutup keseluruhan badannya. Jika dilihat sekali imbas, tiada siapa menyangka ada seorang anak kecil di atas ribanya. Wanita itu melakukan kerja mencatat dan menyemak sebuah buku di depannya seperti biasa.

Wanita itu pula cepat-cepat menyelimuti anaknya dengan sehelai selendang hitam, hampir-hampir menutup keseluruhan badannya. Jika dilihat sekali imbas, tiada siapa menyangka ada seorang anak kecil di atas ribanya. Wanita itu melakukan kerja mencatat dan menyemak sebuah buku di depannya seperti biasa.

Setelah selesai segala urusan anaknya, Izzat sekali lagi melintasi lorong sama, semakin hampir dengan wanita itu. Sengaja dia bertanya arah tandas walaupun tidak perlu ke sana. Ada sesuatu yang menarik hatinya untuk mengetahui hidup wanita itu lebih lanjut.

Dengan kemahirannya menyusun ayat, wanita itu akhirnya memberitahu dia memang membawa anaknya setiap kali bekerja kerana dia tidak mampu menghantar anaknya ke pusat jagaan kanak-kanak. Majikannya sendiri pun sudah tahu perkara itu, cuma berpesan supaya kehadiran anaknya tidak menggangu kerjanya.

Keizinan itu dianggap olehnya sebagai rezeki terbesar untuknya kerana dengan itu dia boleh menyelamatkan hampir separuh gajinya daripada diperuntukkan untuk menghantar anaknya ke pusat jagaan.

Menurutnya lagi, bukan dia sahaja yang menghadapi dilema sebegitu. Ramai rakan senasibnya terpaksa bertabah hati membawa anak ke tempat kerja, malah ada pula yang lebih malang terpaksa menangis dalam diam melihat ketidak selesaan anak yang terpaksa merengkok di bilik-bilik stor atau  sebagainya supaya kehadiran mereka tidak dapat dikesan majikan.

“Saya berasa lapang dada, rasa mengantuk hilang serta-merta dan terus bersemangat untuk bekerja selepas dengar ceritanya. Sebagai lelaki, saya kagum dengan wanita seperti dia. Tak salah belajar tentang hidup dari kisah seorang wanita,” luah Izzat dengan mata berkaca.  

Benarlah nasihat yang meminta kita supaya melihat insan di bawah untuk menumbuhkan rasa bersyukur pada nikmat yang diberi Allah, tetapi pandanglah insan-insan yang berada di atas, iaitu mereka yang telah berjaya untuk dijadikan inspirasi dan motivasi bagi melangkah ke depan.

* Gambar sekadar hiasan

Selendang hitam, sebuah kehidupan

| Tumpang Bahu |