Setahun derita sakit tumor otak, isteri sabar teruskan hidup atas ihsan jiran dan keluarga terdekat, hanya mohon bantuan selepas saranan jiran

PERANAN isteri sebagai pendokong tugas suami kadangkala boleh bertukar sekelip mata menjadi tulang belakang keluarga apabila suami sudah tidak mampu memikul beban itu.

Nurul, seorang suri rumah yang suaminya menghidap penyakit tumor otak membuat keputusan mendengar saranan sahabatnya untuk memohon bantuan daripada Baitulmal MAIWP untuk memecah kesukaran hidup mereka.

Sebelumnya, Nurul yang menanggung seorang anak kecil tetap bersabar dengan ujian tersebut kerana sejak suaminya sakit dan tidak mampu bekerja; jiran-jiran, persatuan penduduk dan ahli keluarga terdekat telah banyak membantu mereka sekeluarga.

Malangnya dokumen permohonan tersebut tidak lengkap, menyebabkan Skuad Jejak Asnaf telah mengambil inisiatif untuk menziarahi beliau di samping membantunya melengkapkan dokumen permohonan bantuan kerana memahami kesukaran yang mungkin dihadapi Nurul untuk menguruskan permohonan bantuan itu.

Nurul mendengar saranan sahabatnya untuk meminta bantuan pihak Baitulmal MAIWP ekoran kesukaran hidup yang dialami selepas suami menghidap penyakit tumor otak.

Suami beliau, Zafarul dikatakan telah menghidap penyakit itu sejak setahun lalu dipercayai bermula apabila suaminya itu mengalami kemalangan kecil semasa bekerja. Zafarul telah menjalani beberapa siri rawatan dan pembedahan dan ketika itu sedang menjalani rawatan di ICU Hospital Kuala Lumpur.

Keadaan keluarga Nurul ini mendapat perhatian Skuad Jejak Asnaf yang mendapati keluarga ini bukan sahaja perlu dibantu dari segi kewangan, malah juga perlu diberi Bantuan Perubatan dan Peralatan Kesihatan memandangkan keadaan suaminya kini yang sedang sakit.

Dalam banyak perkara, peranan orang di sekeliling memainkan peranan besar sebagai pencetus perubahan kepada nasib seseorang dan keadaan ini memerlukan sebuah masyarakat yang cakna dan penuh sifat kemanusiaan. Kes keluarga Nurul salah satu buktinya.

Setahun derita sakit tumor otak, isteri sabar teruskan hidup atas ihsan jiran dan keluarga terdekat, hanya mohon bantuan selepas saranan jiran

| Semasa, Tumpang Bahu |