Siapa tidak sayang isteri – Suami terkam dan tumbuk jerung putih berulang kali untuk selamatkan isteri yang digigit kakinya ketika mereka sedang meluncur air

FRASA “Siapa tidak sayangkan isteri” yang sering dijadikan gurauan untuk menggambarkan kasih sayang seorang suami kepada isteri dibuktikan kebenarannya apabila seorang suami nekad menerkam ke atas seekor jerung putih berukuran tiga meter panjang untuk menyelamatkan isterinya yang sedang menjadi mangsa serangan haiwan ganas itu.

Suami kepada mangsa, Chantelle Doyle, 35 itu menumbuk jerung yang enggan melepaskan kaki isterinya itu bertubi-tubi sehingga ia mengalah dan melepaskan gigitannya, lapor The Sydney Morning Herald yang memetik kenyataan Ketua Eksekutif Surf Life Saving NSW, Steven Pearce.

Kejadian yang berlaku pada pagi Sabtu lalu ketika pasangan itu sedang seronok meluncur air di pantai berhampiran Port Macquire, Sydney mengakibatkan kecederaan pada kaki kanan Doyle.

Ahli paramedik yang bergegas ke tempat kejadian merawat mangsa berusia 35 tahun di pantai berkenaan sebelum dihantar ke Hospital Port Macquarie dan seterusnya diterbangkan ke Hospital Newcastle untuk menjalani pembedahan.

Chantelle Doyle, 35, diserang oleh jerung di Pantai Shelly di Port Macquarie, Sydney dan berjaya diselamatkan suaminya. Foto: Nine News

Pengurus Operasi NSW Ambulance, Andrew Beverley juga memuji keprihatinan orang ramai yang memberi pertolongan cemas kepada Doyle sebelum ketibaan anggota paramedik.

Pantai di kawasan Port Macquarie kini ditutup selepas kejadian itu, kata Surf Life Saving NSW dalam satu kenyataan, sambil menambah pihaknya melakukan pengawasan pesisir di kawasan itu untuk membantu mengesan jerung berkenaan.

Australia mencatatkan kes serangan ikan jerung antara yang tertinggi di dunia dan setakat ini menyebabkan lima kematian.

Gambar: Pasukan ambulan tiba di pantai Shelly di Port Macquarie untuk membawa Chantelle Doyle bagi menerima rawatan selanjutnya. (Nine News)

Siapa tidak sayang isteri – Suami terkam dan tumbuk jerung putih berulang kali untuk selamatkan isteri yang digigit kakinya ketika mereka sedang meluncur air

| Semasa |