PABILA dengar berita orang-orang berpengaruh didapati bersalah kerana jenayah rasuah, terdetik dalam hati apa lagi yang mereka mahu dalam hidup? Tidak cukupkah lagi harta yang menimbun dan nikmat hidup yang selama ini dalam genggaman?
Kita mungkin faham sekiranya yang terlibat rasuah itu dalam kalangan mereka yang sedang kesempitan hidup, walaupun itu bukanlah alasan untuk mewajarkan tindakan mengambil rasuah.
Oleh kerana sifat integriti dan nilai mahmudah sudah semakin berkurang dalam diri, campur tangan pihak berwajib perlulah dilibatkan. Tindakan membanteras jenayah rasuah ini haruslah diperkasa sebagai pembendung kepada berleluasanya jenayah senyap ini.
Islam telah lama menganjurkan usaha membanteras rasuah ini di mana Baginda Nabi SAW sendiri pernah bersabda melarang keras rasuah, “Rasulullah melaknat pemberi dan penerima rasuah.” (HR Ahmad)
Rasuah itu perbuatan “dilaknat” menurut Rasulullah SAW, memberi erti rasuah merupakan perlakuan yang amat terkutuk sehingga mereka yang melakukannya dilaknat oleh Allah dan Rasul.
Rasuah itu perbuatan “dilaknat” menurut Rasulullah SAW, memberi erti rasuah merupakan perlakuan yang amat terkutuk sehingga mereka yang melakukannya dilaknat oleh Allah dan Rasul.
Terdapat juga ulamak yang mengkategorikan kumpulan perasuah ini sebagai pelaku dosa besar, manakala Imam al-Qurtubi menegaskan bahawa penerima rasuah ini dikategorikan sebagai orang fasiq.
Manusia yang sanggup membuang nilai murni (mahmudah) dalam diri ini tidak mustahil akan terbuang dari keluarga dan masyarakat pada suatu masa. Mereka yang didakwa atas jenayah ini sudah pasti kehilangan maruah dan kepercayaan keluarga dan masyarakat, sekaligus merosakkan keistimewaan diri sebagai khalifah.
Hanya satu cara sahaja yang mampu mencegah pandemik rasuah ini dari terus berlaku, iaitu dengan mempercepatkan suntikan vaksin sifat mahmudah yang mampu melawan semua serangan pandemik nafsu bertentangan ajaran agama.