Sikap ‘jaga tepi kain’ jiran boleh bantu atasi penderaan anak-anak sewaktu tempoh PKP

OLEH ROKIAH ISMAIL
(rokiah@tvalhijrah.com)

LAZIMNYA apabila berlaku sesuatu bencana, perkara pertama yang diutamakan ialah keselamatan nyawa dan perlindungan mangsa serta makan minum mereka semasa tempoh tersebut. Perkara asas ini akan dapat diatasi oleh pihak kerajaan yang prihatin terhadap nasib warganya.

Namun mungkin dalam kesibukan masing-masing memikirkan tuntutan fizikal, kita terlepas pandang perkara yang melibatkan emosi manusia. Penerimaan terhadap bencana berbeza kepada setiap orang yang menghadapinya berdasarkan ilmu, peribadi dan strata hidup.

Laporan tentang kes penderaan yang berlaku sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjalan mungkin tidak sempat terlintas di fikiran kerana masing-masing sibuk menguruskan keperluan hidup seharian.

Menurut seorang doktor di Hospital Tuanku Ja’far Seremban, Dr. Ahmad Luqman Bukhari berkata, sepanjang PKP, Perkhidmatan Talian Kasih telah menerima hampir 2000 panggilan berkait dengan isu kanak-kanak dan penderaan domestik sejak dua minggu lalu. Peningkatan sebanyak 57% berlaku dalam masa 14 hari sahaja.

Dalam hantaran di laman Facebooknya, Dr Ahmad berkata menurut Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM), hampir semua kes penderaan yang berlaku berpunca daripada perasaan panik dan tekanan yang berlaku dalam keluarga sepanjang tempoh PKP berlangsung.

Apabila sebuah keluarga banyak berkurung dalam rumah, mata pencarian akan terjejas dan sekaligus menyebabkan simpanan menyusut. Ia kemudiannya memberi kesan yang teruk pada emosi emak dan ayah atau ketua keluarga.

Apabila sebuah keluarga banyak berkurung dalam rumah, mata pencarian akan terjejas dan sekaligus menyebabkan simpanan menyusut. Ia kemudiannya memberi kesan yang teruk pada emosi emak dan ayah atau ketua keluarga.

Anak-anak akan menjadi tempat melampiaskan kemarahan dan tekanan. Setiap kesalahan kecil akan mencetuskan kemarahan yang tidak sepadan. Tengking, pukul dan dikurung adalah risiko biasa yang akan dihadapi oleh anak-anak.

Malah tidak mustahil penderaan berbentuk yang lebih teruk akan menyusul sekiranya keadaan berlanjutan dan reaksi daripada anak pula menambahkan lagi buruknya tindak balas terhadap mereka.

Ibu bapa yang lemah kawalan emosi dibimbangi mengalami tekanan yang kronik sekiranya keadaan ini dibiarkan berterusan. Manakala bagi anak pula, sekiranya penderaan ini berulang setiap hari, akan ada ramai anak anak yang terjejas kesihatan fizikal dan rosak emosinya.

Anak yang selalu didera pula biasanya hilang rasa selamat, rasa diri kurang disayangi, jadi terlampau rendah diri dan paling dibimbangi ialah mereka nanti jadi sangat susah untuk dibentuk dan dikawal. Ini mendorong mangsa menjadi makin pendiam dan kurang kreatif kerana mengalami trauma yang teruk.

Sekiranya tidak dicegah segera akan mengakibatkan anak yang rosak emosinya suatu hari nanti berpotensi menjadi perosak emosi adik-beradik dan kawan-kawan di sekelilingnya pula, mewujudkan kitaran penderaan yang sukar diputuskan.

Justeru itu, sewaktu tempoh PKP ini, sebagai jiran kita juga perlu mengamalkan sikap ‘jaga tepi kain’ orang. Perhatikan jiran-jiran sekeliling, sekiranya terdapat tanda-tanda sebuah keluarga itu mengalami masalah seperti di atas, segeralah bertindak.

Kecaknaaan kita mungkin mampu menyelamatkan nyawa dan masa depan kanak kanak yang didera atau berupaya mengurangkan sedikit beban ketua keluarga yang sedang merana.

Lakukanlah perkara yang sepatutnya, sama ada membantu mereka mengikut kemampuan dan kesesuaian, atau laporkan sahaja kes kes penderaan tersebut ke Talian Kasih (Nombor 15999).

Sikap ‘jaga tepi kain’ jiran boleh bantu atasi penderaan anak-anak sewaktu tempoh PKP

| Keluarga, Semasa |