Solat Jumaat diteruskan, hanya perlu ikut garis panduan yang ditetapkan

OLEH ROKIAH ISMAIL (rokiah@tvalhijrah.com)

KUALA LUMPUR: Solat Jumaat di Wilayah-Wilayah Persekutuan hari ini DITERUSKAN dengan mematuhi empat garis panduan yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Dalam kenyataan yang baru sahaja dikeluarkan tadi setelah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustaín Billah, setiap masjid diminta memendekkan khutbah, manakala para jemaah diminta berwuduk di rumah.

Golongan yang ada simptom Covid-19 pula diberi kelonggaran tidak perlu hadir solat Jumaat kerana termasuk dalam golongan orang yang sakit, manakala pihak masjid atau jemaah juga diwajibkan menyediakan cecair pembasmi kuman dan penutup mulut sebagai langkah pencegahan dan keselamatan.

Sebelumnya, sewaktu ditemui pemberita pada jam 9.15 pagi tadi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata arahan untuk solat Jumaat digantikan dengan solat Zohor di rumah hanya akan diputuskan dalam tempoh dua hingga tiga jam lagi.

Ini berikutan pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai hal ini.

Semalam Jabatan Perdana Menteri menyarankan perkara yang sama sebagai langkah pencegahan kerana situasi semasa penularan virus Covid-19 yang masih terkawal di negara ini tidak memerlukan solat Jumaat dihentikan.

Gambar: Indahnya Islam

Solat Jumaat diteruskan, hanya perlu ikut garis panduan yang ditetapkan

| Semasa |