Solat lima waktu berjemaah kini dibenarkan di semua masjid di Terengganu

OLEH ROKIAH ISMAIL

RAKYAT Terengganu yang beragama Islam pasti berasa lega dan bersyukur dengan pengumuman kerajaan negeri itu yang membenarkan mereka menunaikan solat fardu lima waktu secara berjemaah di semua masjid dan surau bermula 12 Jun ini.

Kebenaran tersebut diberikan setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal bagi membolehkan aktiviti-aktiviti keagamaan, terutama solat Jumaat dan solat jemaah kembali dilaksanakan di masjid.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda sebagaimana laporan Sinar Harian berkata, kebenaran menunaikan solat Jumaat turut diperluaskan kepada semua masjid di negeri ini bermula tarikh sama.

“Baginda juga sentiasa mengikuti perkembangan penularan wabak Covid-19 di Terengganu khususnya dan di Malaysia umumnya. Alhamdulillah wabak ini telah dapat dibendung dengan sebaiknya dan kini negara kita memasuki fasa pemulihan,” katanya.

Namun begitu bilangan jemaah yang dibenarkan hadir bergantung kepada keluasan masjid dengan mengambil kira pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang menetapkan penjarakan satu meter antara ahli jemaah terdiri daripada anak mukim.

Namun begitu bilangan jemaah yang dibenarkan hadir bergantung kepada keluasan masjid dengan mengambil kira pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang menetapkan penjarakan satu meter antara ahli jemaah terdiri daripada anak mukim.

Pegawai Agama Daerah akan membuat pemantauan bagi memastikan semua masjid dan surau mematuhi SOP dan syarat-syarat yang ditetapkan, manakala jawatankuasa masjid dan surau diberi tanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan pengurusan solat berjalan lancar.

“Jemaah yang hadir diwajibkan mematuhi segala SOP kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan seperti sentiasa mematuhi penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan tidak bersentuhan di antara satu sama lain termasuk bersalaman sepanjang berada di masjid.

“Bagaimanapun, individu yang mempunyai gejala seperti demam, batuk, selesema, sesak nafas dan sakit tekak tidak dibenar hadir termasuk yang menghidap penyakit kronik,” katanya.

Selain itu, kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah dan warganegara asing turut dilarang hadir menunaikan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di masjid serta surau negeri ini.

Solat lima waktu berjemaah kini dibenarkan di semua masjid di Terengganu

| Agama, Semasa |