Suami buta sebelah mata akibat letupan usaha jadikan bangsal kecil ‘syurga’ untuk mereka enam beranak

SEGALANYA bermula apabila sebelah matanya buta akibat mesin di tempat kerjanya di Kuala Lumpur meletup. Beliau sukar mendapat pekerjaan kerana majikan tidak yakin dengan kemampuannya bekerja ekoran kecacatan itu.

Untuk menampung hidup mereka sekeluarga, dia mengambil upah menebang pokok dan melakukan pelbagai pekerjaan.

Isterinya pula yang sebelum ini menghantar kuih ke sekolah berasrama berhampiran rumah mereka ditamatkan perkhidmatan keradna sekolah sudah tidak ramai pelajar. Hidup mereka bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga.

Dengan pendapatan tidak menentu memandangkan keempat-empat anak sudah bersekolah, keluarga ini berdepan masalah kewangan, sekaligus tidak punyai cukup wang untuk membaiki bumbung rumah yang bocor dan mengupah juru elektrik untuk membuat sistem pendawaian di rumah mereka.

Keadaan itu tidak mematahkan semangat pasangan suami isteri, Azwa Marsiratul Huda Abdul Halim, 34 dan suaminya Mohd Saiful Jalal Ramli, 37 ini. Mereka memilih berdikari dan tetap cuba menjalani kehidupan sedaya upaya.

Rumah yang dibina sendiri suami Azwa, Mohd Saiful, dengan menggunakan lebihan kayu dan papan lapis yang dibuang dari tempat kerja lamanya.

Mereka bersama empat anak, Siti Noraisyah Karmila, 14; Muhammad Haziq Haqeem, 11; Nur Sofea Qistina, 9; serta Nur Aina Sumaiyah, 7 menghias sebaik mungkin rumah tersebut bagi mencipta ‘syurga’ buat mereka sekeluarga.

Teratak kecil yang terbina daripada papan lapis terbuang dan kayu terpakai dari tempat kerja lamanya di atas tanah milik bapanya setelah mendapat kebenaran ibu bapa dan adik beradik yang lain itu dihias cantik dan kelihatan kemas.

Dindingnya ditampal dengan pelbagai kertas dinding (wall paper) yang menarik corak dan warna, manakala atap zink pula dilapisi kanvas untuk bagi mengurangkan air membanjiri rumah mereka terutama di bilik tidur.

Namun begitu, masalah bekalan elektrik yang sering terputus tidak dapat dielakkan memandangkan rumah mereka tiada sistem pendawaian elektrik yang sempurna, berikutan menyambung elektrik daripada rumah ibu bapa Azwa.

Untuk menderma sila layari https://ybim.org.my/suaraasnaf/ dan tekan Asnaf 29 atau terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Suami buta sebelah mata akibat letupan usaha jadikan bangsal kecil ‘syurga’ untuk mereka enam beranak

| Advertorial, Semasa |