Suami derita strok, wanita warga emas banting tulang masuk kebun dan raut penyapu lidi demi sesuap nasi

PADA usia 63 tahun, wanita warga emas, Nuteh Sulong terus gigih mengerah kudrat masuk ke ladang mengambil daun kelapa sawit untuk dijadikan penyapu bagi menampung perbelanjaan harian untuk dirinya dan suami. 

Wanita ini gagah menunggang motosikal masuk ke dalam ladang kelapa sawit seorang diri dan mengusung guni yang penuh diisi daun kelapa sawit yang berduri pulang ke rumah. Daun kelapa sawit itu yang siap diraut dijual kepada pelanggan dengan harga RM3 seikat dan dia mampu meraih pendapatan kira-kira RM400 sebulan hasil jualan penyapu lidi berkenaan.

Usahanya itu dibantu suami, Mustaffar Dan, 61, yang sentiasa ringan tulang membantunya meraut daun sawit walaupun menghidap strok. Namun, Mustaffar tidak dapat meraut banyak daun kerana tangan kanannya lemah selepas dua kali diserang strok tahun lalu. 

Keadaannya semakin teruk selepas dia terkena serangan kali kedua sehingga pertuturannya tidak jelas berikutan lidahnya kelu selain bahagian kanan badan lemah dan pergerakannya amat terbatas.

Walaupun anak-anaknya memberikan wang belanja sebanyak RM100 setiap seorang, namun, ada kalanya mereka juga sesak dan tidak dapat menghulurkan perbelanjaan.

Sebagai ibu kepada lima cahaya mata,  dia memahami keadaan anak-anaknya kerana mereka juga mempunyai keluarga dan bukan orang berada. Malah, anak-anak perempuannya tidak bekerja dan hanya mengharapkan wang belanja daripada suami mereka.

Disebabkan itu, Nuteh menjual penyapu lidi kerana tidak mahu menyusahkan anak-anaknya.  Selain menampung perbelanjaan harian, pekerjaan itu dilakukan untuk mengisi masa lapang yang sebelum ini terisi dengan melayan kerenah cucu-cucu, namun sejak anaknya berhenti kerja dia tidak lagi menjaga mereka. 

Untuk menderma sila layari https://ybim.org.my/suaraasnaf/ dan tekan Asnaf 37 atau  terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank)

Suami derita strok, wanita warga emas banting tulang masuk kebun dan raut penyapu lidi demi sesuap nasi

| Advertorial, Semasa |