Suami ‘hero’ koyak cuping telinga ketika bergelut dengan peragut beg tangan isteri

SUAMI hero isteri. Perkataan ini tepat menggambarkan tindakan seorang suami sewaktu cuba menyelamatkan beg tangan isterinya yang diragut seorang penjenayah di Kampung Binjai, Kota Bharu.

Bagai gambaran dalam sukan gusti, lelaki tersebut bergelut dengan penjenayah itu sehingga koyak pada cuping telinga kirinya dan menerima tujuh jahitan.

“Saya tekup hidung dia, dia gigit telinga saya,” kata suami tersebut ketika menceritakan insiden yang berlaku Ahad lalu.

Mohd Hanif Hilmi, 29, sebagaimana laporan Sinar Harian hari ini berkata, dalam kejadian kira-kira 5.45 pagi itu, penjenayah yang menaiki sebuah motosikal meragut beg tangan isterinya yang sedang menunggu beliau di tepi jalan sebelum terjatuh dari motosikal selepas dilanggar oleh kereta yang dipandunya.

“Dia nak lari, saya terkam dia dari belakang dan menekup hidungnya. Waktu itu dia meronta untuk melepaskan diri dan bertindak menggigit telinga kiri saya sebelum datang dua orang awam membantu dan menangkap suspek,” katanya hari ini.

Mohd Hanif (kanan) menerima sijil penghargaan daripada Shafien di IPD Kota Bharu pada hari ini atas keberaniannya. (Sinar Harian)

Mohd Hanif sebelum itu menerima sijil penghargaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang disampaikan Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat atas keberaniannya itu.

Penahanan penjenayah tersebut menyebabkan polis berjaya menyelesaikan lima kes ragut menggunakan modus operandi dengan menyasarkan wanita bersendirian di tempat-tempat sunyi.

Semakan rekod lampau mendapati suspek memiliki 14 jenayah, kebanyakannya kes rompakan, ragut dan dadah.

Suspek yang juga positif dadah jenis metamphetamine ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Gambar: Telinga kiri Mohd Hanif yang cedera dan menerima jahitan akibat digigit peragut dalam kejadian pada awal pagi Ahad. (Sinar Harian)

Suami ‘hero’ koyak cuping telinga ketika bergelut dengan peragut beg tangan isteri

| Semasa |