Suami ke pasar tempoh PKP – jangan ejek nanti serik

OLEH IZZAT SYAMIR ISMAIL
(izzat.syamir@tvalhijrah.com)

LANGKAH PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang menginjak hari kesebelas kini telah memperlihatkan wabak Covid-19 telah meragut seramai 26 nyawa. Suatu angka yang besar kemungkinannya akan meningkat lagi jika tidak ditangani dengan betul.

Penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedikit sebanyak telah meringankan beban pihak polis dalam memastikan warga Malaysia kekal di rumah.

Ternyata, aura dan semangat keperwiraan ATM berjaya melenturkan ego rakyat Malaysia yang sebelum ini tidak ambil kisah mengenai penularan wabak Covid-19 ini.

Buktinya, Pasar Awam Air Itam, Pulau Pinang semakin kurang dikunjungi penduduk berbanding sebelum ini. Bagi masyarakat yang telah mula sedar akan bahayanya penularan wabak Covid-19 ini, mereka mula memanfaatkan peluang untuk bersama keluarga.

Pada waktu begini, selain kerana tanggungjawab, suami juga adalah hero. Manakan tidak, segala urusan keluarga sepenuhnya di tangan mereka. Urusan di luar rumah terhad kepada mereka, malah ada sesetengahnya pula turut terlibat melakukan kerja di dapur.

Antara yang banyak dibangkitkan di media sosial pada minggu pertama PKP ialah urusan pembelian barangan keperluan dapur oleh sang suami.

Senario ini mungkin biasa bagi mereka yang sering ke pasar, tetapi bagi yang pertama kali dalam hidup bertugas membeli barangan di pasar tanpa ditemani isteri, banyak juga kerenah yang menjadi bualan warga net.

Seorang warga net, Muhammad Shofi mencadangkan para suami menggunakan aplikasi Color Note untuk membantu kelancaran urusan pembelian barang yang dipesan.

Pelbagai gelagat mereka menjadi gurauan warga net, antaranya video para suami memeriksa senarai barangan yang mahu dibeli, gambar suami membuat panggilan video kepada isteri bertanyakan nama sayur, dan sebagainya.

Telefon para suami dipenuhi beratus-ratus gambar sayur, ikan, bahan-bahan masakan kering dan sebagainya. Gagal membezakan antara lengkuas dan halia, kembung dan selayang perkara biasa!

Untuk memudahkan urusan pembelian, seorang warga net, Muhammad Shofi mencadangkan penggunaan aplikasi “Color note” supaya tidak tercicir barang yang dipesan.

Bagi isteri pula usahlah diejek kelemahan suami yang cuba sedaya mungkin menjalankan peranan mereka. Berilah sokongan dan semangat, bukan bebelan untuk hanya satu kesilapan kecil mereka.

Keterangan gambar: Pelbagai gelagat para suami sewaktu memilih barangan dapur dapat dilihat di media sosial. (Gambar FB: Muhammad Shofi)

Suami ke pasar tempoh PKP – jangan ejek nanti serik

| Semasa |