Suami mati lemas di sungai, wanita ini sambut hari lahir dan Hari Wanita Sedunia dengan cucuran air mata

OLEH: NOOR DIYANA MOHD RONI

HADIAH paling berharga buat seorang wanita ialah suami yang baik dan bertanggung jawab. Kehidupan yang sesusah mana pun boleh diharungi pasangan bahagia, asalkan masing-masing tahu peranan. Buat apa harta bertimbun sekiranya tiada kebahagiaan dalam hidup berumah tangga.

Aisyah sebagai isteri yang memahami putaran hidup menerima nasib suaminya diberhentikan kerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas dengan hati tenang walaupun dalam hati kecilnya dia merintih setiap kali melihat suami kelelahan berhempas pulas mencari rezeki buat mereka sekeluarga.

Sejak tiada pekerjaan tetap, suaminya sudah tidak kenal erti tidur, hanya dapat lelap lebih kurang lima minit sahaja. Dia berkorban waktu tidur semata-mata memberi lebih ruang kepada usaha mencari rezeki. Namun kerja kampung sebegitu tidak menjanjikan pendapatan yang cukup buat mereka sekeluarga.

Aisyah mula gusar dengan simpanan yang semakin susut yang banyak diperuntukkan membeli gajet bagi anak-anaknya atas keperluan PdPR serta perbelanjaan harian. Bukit yang dicangkul hari-hari pun akan tinggal tanah rata.

Maka Aisyah sinsing lengan dan membantu suami dengan membuat kuih untuk dijual, sekurang-kurangnya ada juga hasil darinya sebagai isteri. Namun kesihatan Aisyah banyak mengganggu usaha itu dan penghasilan kuih tidak konsisten.

Aisyah kehilangan suami menjelang sambutan hari lahirnya tahun ini, meninggalkan beliau menjaga empat anak yang masih kecil. (Foto: ummaid)

Kehidupan serba kekurangan diharungi dengan sabar dan tabah kerana mereka suami isteri telah berikhtiar sehabis daya membaiki kehidupan; hanya mungkin masa-masa senang belum tiba masanya.

Namun menjelang hari ulangtahun kelahirannya tahun ini, Allah menguji Aisyah dengan berita menyayat hati. Tempat bergantung harapan dan kasih sayang patah, Aisyah ditinggal suami bersama empat anak yang masih kecil mendepani badai kehidupan yang semakin payah.

Allahuakbar! Hanya laungan itu sahaja yang keluar dari mulut Aisyah tatkala berita suaminya meninggal akibat lemas sungai menyapa telinga.

Makin menambah parah apabila ada desas-desus menyatakan suaminya terjun ke dalam sungai sewaktu melarikan diri daripada dikejar sekumpulan penduduk kampung setelah dia memecah masuk ke sebuah rumah.

Mereka menunggu kemunculan suaminya di tebing sungai, namun sejam menunggu tidak juga muncul. Rupanya, kaki suaminya tersekat pada jaring menangkap ikan yang terdapat dalam sungai tersebut.

Makin menambah parah apabila ada desas-desus menyatakan suaminya terjun ke dalam sungai sewaktu melarikan diri daripada dikejar sekumpulan penduduk kampung setelah dia memecah masuk ke sebuah rumah.

Bagai jatuh ditimpa tangga, kejadian yang menjadi asbab kematian suaminya itu menambah resah jiwa Aisyah yang sudah sekian pilu. Pelbagai tuduhan yang tersebar di angin lalu diterima Aisyah dengan keyakinan terhadap peribadi suaminya selama mereka hidup bersama.

Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui segala-galanya. Aisyah tetap mengenang suaminya sebagai pasangan hidup yang sangat bertanggung jawab, baik dan penyayang kepada mereka sekeluarga.

Aisyah berjanji akan menjadi wanita kuat sempena usia 44 tahun dan sempena Hari Wanita Sedunia pada hari ini, Aisyah akan menghadiahkan arwah suaminya seorang wanita solehah dan anak-anak yang soleh sebagai menyahut ujian keimanan daripada Allah dengan sejuta kepasrahan.

Pasti di sebalik ujian yang terlalu sukar itu akan hikmah yang belum nyata di mata kasar, dan Aisyah yakin Allah menunjukkan hikmah itu kepadanya suatu hari nanti.

Gambar hiasan. (utusan.com)

Suami mati lemas di sungai, wanita ini sambut hari lahir dan Hari Wanita Sedunia dengan cucuran air mata

| Semasa, Tumpang Bahu |